Malaysia

5 sebab anda perlu menyaksikan persembahan ‘Ola Bola the Musical’ di Istana Budaya

Selepas rakyat Malaysia terpukau dengan kehebatan Ola Bola The Movie, tahun ini kita disajikan pula dengan Ola Bola The Musical, satu pementasan yang dihasilkan oleh Enfiniti Vision Media Sdn. Bhd.

Membawa jalan cerita yang sama dengan versi filem, pementasan ini mempunyai daya tarikan tersendiri untuk peminat bolasepak Malaysia.

BARISAN PELAKON MANTAP

Pelakon dalam pementasan berbeza dengan filem. Semuanya perlu tepat dan pantas, tiada ruang untuk kesilapan kerana tidak boleh diulang semula rakaman. Dalam Ola Bola the Musical juga begitu. Semua pelakon, biar sekecil mana pun watak berjaya menghidupkan pementasan tersebut.

Sama ada Brian Chan yang membawa watak Tauke, ketua pasukan atau Nasz Sally yang membawa watak Cik Kiah, pengurus di pejabat, semuanya memang mantap!

ULASAN RAHMAN

Jika ada satu watak yang perlu saya pilih sebagai Pelakon Terbaik Pementasan, sudah pastinya adalah watak Rahman Razali lakonan Iedil Putra. Membawa watak sebagai seorang pengulas, dia berjaya bercerita kepada penonton.

Ulasan Rahman cukup bertenaga dan ada perbezaan berbanding ulasan yang biasa kita dengar di kaca tv. Berbeza bagaimana? Kerana ini adalah pementasan muzikal, jadi Rahmad perlu mengulas dengan nyanyian dan juga rapping!

PROPS DAN LATAR YANG MENARIK

Seperti kita tahu, Ola Bola adalah satu pementasan mengenai bolasepak. Apabila melibatkan bolasepak, sudah tentu ianya perlu melibatkan suasana di stadium dan juga di padang bolasepak. Jadi apabila, mereka berjaya membawa suasana di dalam Stadium Merdeka, saya benar-benar kagum ditambah dengan audio sorakan dan chanting penyokong, ia seakan-akan berada di stadium sebenar!

Selain di stadium, antara latar yang digunakan turut menggambarkan keadaan di era tersebut, seperti babak di kedai kopi, ladang getah, ofis dan juga di padang latihan.

'THROWBACK" SEJARAH BOLASEPAK MALAYSIA

Ramai sudah tahu Ola Bola the Musical mengambil inspirasi daripada kisah skuad bolasepak Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow. Tapi, selain itu, banyak lagi elemen sejarah yang boleh kita lihat dalam pementasan berkenaan.

Penonton diingatkan semula peristiwa dan figura penting pada zaman tersebut. Antaranya seperti pembinaan Lebuhraya Plus, pembukaan Lebuhraya Karak, kemenangan filem “Tiada Esok Bagimu” arahan Allahyarham Tan Sri Datuk Jins Shamsuddin di Festival Filem Malaysia 1980 dan juga kemenangan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad di Anugerah Seri Angkasa.

Kesemua sejarah ini sebenarnya menunjukkan kejayaan dan pencapaian Malaysia di era tersebut.

PERMAINAN BOLASEPAK YANG MENAKJUBKAN

Bukan mudah bermain bolasepak di atas pentas sambil perlu berada dalam watak. Dalam keadaan yang sempit, para ‘pemain’ menunjukkan aksi hebat dan memukau untuk tontonan penonton yang hadir.

Nak tahu apa yang menakjubkan? Ada ‘replay’ juga ditunjukkan! Kalau anda nak tahu, babak mana yang ada replay, itu anda perlu tonton sendiri.

Secara kesimpulannya, pementasan ini sesuai untuk ditonton sama ada anda peminat bolasepak atau tidak. Seperti satu perkataan yang sering diungkap dalam pementasan ini, ianya memang LUAR BIASA.

Pementasan Ola Bola the Musical akan tamat pada 11 Mac ini, jadi kepada siapa yang belum berkesempatan untuk melihatnya, pergilah segera!

 

*Kredit Foto: Ola Bola the Musical & The Star Online