Malaysia Berita

Tindakan Bojan Salahkan Sistem Bola Sepak Negara Undang Rasa Kurang Senang FAM

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi mempersoalkan tindakan jurulatih bawah B-18 tahun negara, Bojan Hodak yang menyalahkan sistem bolasepak negara di atas kekalahan anak buahnya di Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun.

Sebelum ini, Bojan Hodak ditemuramah oleh wartawan Buletin Utama selepas anak buahnya tewas dua perlawanan berturut-turut menentang Sekolah Tinggi Aomori Yamada dan Kelab Remaja Sagan Tuso di kejohanan terbabit.

Dalam kenyataan yang dibuat Bojan Hodak, beliau menyatakan bahawa pemain sepatutnya dilatih lebih awal dan bukannya pada umur 16 tahun, di mana bagi beliau ia adalah satu sistem yang salah yang diterapkan oleh FAM.

“Pemain kita hanya memulakan sistem latihan secara serius ketika berusia 16 atau 17 tahun. Mereka seharusnya berlatih lebih awal lagi dengan banyak perlawanan-perlawanan kompetetif. Sistem bolasepak negara tidak betul.”

Kenyataan itu nyata menimbulkan rasa kurang senang Datuk Yusoff Mahadi, di mana beliau mempersoal tindakan Bojan Hodak yang mengeluarkan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan meluahkan rasa kesal dengan tindakan jurulatih B-18 tahun negara.

“Pertamanya saya rasa kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Bojan apabila pasukan negara menghadapi kekalahan demi kelahan di Jepun tempoh hari,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Bojan yang menyalahkan sistem setelah pasukan beliau tewas dua perlawanan awal Piala Sanix 2019.

“Saya melihat bojan sebagai seorang jurulatih profesioonal, kita dapat lihat kejayaan pasukan di bawah bimbingan beliau semasa pertandingan AFF tempoh hari, pada masa itu pasukan beroleh kejayaan dan pemain-pemain itu adalah lahir dari produk dan sistem bola sepak negara.

“Jadi apabila kita (Bojan Hodak) beroleh kejayaan, kita tidak mempersoalkan sistem bolasepak negara. Tetapi apabila kita mengalami kekalahan kita menyalahkan sistem bola sepak sedangkan pemain-pemain ini semua lahir daripada sistem bolasepak negara.” Katanya.

Datuk Yusoff Mahadi juga mengingatkan Bojan Hodak agar tidak menunding jari mencari salah sesiapa.

“Sepatutnya Bojan lebih mencari jalan macam mana mahu selesaikan masalah berkenaan persembahan pemain.” Katanya ketika ditemui media di Johor Baharu.