Pemain lagenda Brazil, Ronaldo memuji fasiliti serta struktur kelab Johor Darul Ta’zim.
Ronaldo yang pernah bergelar juara Piala Dunia sebanyak dua kali berpeluang menjadi tetamu khas apabila bertandang ke pusat latihan rasmi pasukan JDT pada 12 Mac yang lalu.
Beliau juga turut berpeluang menyaksikan pasukan JDT beraksi di Liga Juara-Juara Asia menentang Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin.
https://www.instagram.com/p/Bu-Kfa9nIIb/
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook, Johor Southern Tigers, bekas penyerang Real Madrid, Barcelona dan Inter Milan itu memuji fasiliti yang wujud di JDT selari dengan peredaran bola sepak moden.
“Ronaldo mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail atas layanan yang telah diberikan dan merupakan penghormatan buat beliau mengetahui ‘struktur hebat kelab JDT dan projek yang JDT miliki untuk masa akan datang’.
“Bekas pemain ‘galactico’ Real Madrid ini juga turut melawat fasiliti Harimau Selatan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam dan bilik persalinan pemain JDT di Stadium Larkin.” Kata kenyataan terbabit.
Ronaldo menjadi tetamu khas Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada perlawanan menentang Gyeognam FC yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.