Selepas berakhirnya musim liga bola sepak di rantau Asia Tenggara – kecuali Indonesia, kami kumpulkan pemain-pemain yang telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak atau pemenang kasut emas liga-liga bola sepak di ASEAN musim 2016.
1) Thailand
Cleiton Silva (Muangthong United – Thailand) – 27 gol
Liga Thailand telah ditamatkan lebih awal disebabkan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej. Cleiton Silva dari Muangthong United telah mendahului senarai penjaring terbanyak Toyota Thai League dengan 27 gol dari 31 perlawanan liga. Beliau juga merupakan pemian import pertama dalam liga bola sepak Thailand yang telah menjaringkan lebih 100 gol.
2) Myanmar
Keith Martu Nah, Win Naing Soe & Christopher Chizoba (Myanmar National League) – 16 gol
3 pemain berkongsi kedudukan selaku penjaring gol terbanyak Liga Myanmar dimana 2 daripadanya adalah dari pasukan Yadanarbon yang menjuarai liga – Win Naing Soe and Keith Martu Nah. Seorang lagi pemain adalah Christopher Chizoba dari Ayeyawady United FC.
3) Vietnam
Gaston Merlo (SHB Da Nang – Vietnam) – 24 gol
Musim lalu penyerang dari Argentina ini tidak membuat sebarang penampilan bersama SHB Da Nang disebabkan kecederaan serius yang dialaminya. Beliau bangkit kembali dan membalas kepercayaan kelab dengan menjaringkan 24 gol dalam V-League, seterusnya meraih anugerah kasut emas musim 2016.
4) Kemboja
Chan Vathanaka (Boeungket Angkor – Cambodia) 22 gol
Memulakan musim 2016 dengan menjaringkan hatrik dalam masa 5 minit dan Chan Vathanaka berjaya meneruskan pengusaannya dalam Liga Kemboja dengan jumlah 22 gol untuk musim 2016.
Beliau juga berjaya mempertahankan status sebagai penjaring terbanyak Liga Kemboja sejak 2015, dimana beliau telah menjaringkan 35 gol dalam aksi liga dan 55 gol dalam semua perlawanan bagi musim 2015.
Chan Vathanaka sekarang sedang mejalani sesi ‘trial’ bersama pasukan J3 League, Fujieda MYFC.
5) Malaysia
Jorge Pereyra Diaz (JDT – Malaysia) – 18 gol
Tonggak bahagian serangan JDT ini berjaya membantu pasukan Harimau Selatan untuk mencapai kejayaan hatrik menjuarai Liga Super Malaysia dengan 18 gol jaringannya hasil gandingan bersama Martin Lucero.
Kedua-dua pemain ini telah berjaya menjaringkan 34 gol dari 56 gol yang dijaringkan oleh JDT musim ini. 61% gol JDT adalah dari kedua-dua pemain dari Argentina ini.
6) Filipina
Adrián Gallardo (Ceres – Philippines) – 30 gol
Walaupun Ceres tidak berjaya menjuarai Liga Filipina apabila ditinggalkan 6 mata oleh pasukan juara Global FC , penyerang utama mereka Gallardo berjaya meledak 30 gol musim ini.
7) Singapura
Rafael Ramazzotti (Brunei DPMM – Singapore) – 20 gol
Ramazotti hadir dalam kancah Liga S pada musim 2015 dan terus memberikan impak segera apabila meraih anugerah kasut emas pada musim pertama dengan 21 gol dan membantu DPMM Brunei menjuarai Liga S. Musim 2016 beliau masih kekal menjadi penjaring terbanyak dengan 20 gol namun gagal membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan Liga S.
8) Laos
Abu Razard Kamara (VSV United – Laos) – 19 gol
Walaupun VSV United berada pada kedudukan ke 6 Liga Laos dan ketinggalan 29 mata kepada juara Lao Premier League – Lanexang United, namun penyerang mereka yang berasal dari Liberia, Abu Razard Kamara berjaya menyumbat 19 gol musim 2016 dan merangkul anugerah pemenang kasut emas.
9) Indonesia
Marcel Sacramento (Semen Padang – Indonesia) – 16 gol
Liga Indonesia masih belum melabuhkan tirai, namun Marcel Sacramento dari pasukan Semen Padang merupakan pendahulu senarai penjaring terbanyak liga dengan 16 gol dari 26 penampilan.
Dapat diperhatikan dari 9 buah liga disekitar Asia Tenggara, semua penerima anugerah kasut emas merupakan pemain import liga masing-masing kecuali Kemboja yang dimenangi oleh penyerang tempatan – Chan Vathanaka.