Luar Negara

Steven Pienaar umum persaraan daripada bolasepak

Bekas pemain Everton dan Tottenham, Steven Pienaar hari ini telah mengumumkan persaraannya daripada bolasepak.

Bekas pemain kebangsaan Afrika Selatan itu bercakap kepada Sportsmail: “Sudah sampai masanya untuk saya menutup satu bab yang sudah menjadi satu detik penting dalam hidup saya dan membuka lembaran baru.

“Saya mempunyai banyak memori manis, bermain bersama Ajax, Dortmund, membuat penampilan pertama bersama Everton dan juga mewakili Afrika Selatan di Piala Dunia.

“Saya harap dapat mengumumkan sesuatu di penghujung Mac nanti tetapi saya juga akan berkerja bersama beberapa stesen TV di Afrika Selatan dan luar negara.

“Saya masih mendapat ucapan daripada penyokong di England dan saya ingin berterima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan selama ini.”

Pemain berusia 35 tahun itu mengakhiri kerjayanya bersama kelab Bidvest Wits di Liga Bolasepak Perdana Afrika Selatan.