Malaysia Liga Super Malaysia

Liga Super All-Star: MSL Selatan XI vs MSL Utara XI (Pilihan Football Tribe)

Setiap tahun, NBA (Persatuan Bola Keranjang Amerika Syarikat) akan mengadakan perlawanan All-Star, di mana 12 pemain terbaik akan dipilih mewakili bahagian timur US, manakala 12 lagi pemain akan dipilih untuk mewakili bahagian barat US. Kedua-dua pasukan akan berentap dalam perlawanan NBA All-Star, yang sering menarik perhatian jutaan orang di seluruh dunia.

Baru-baru ini pula, penyerang Manchester United, Romelu Lukaku ada memberi cadangan yang cukup menarik di Twitter, di mana beliau mencadangkan untuk Liga Perdana Inggeris mengikuti jejak langkah NBA dalam mengadakan perlawanan All-Star di antara pemain-pemain yang bermain untuk kelab yang berpangkalan di Selatan dan Utara England.

Kami di Football Tribe membuat keputusan untuk membina dua skuad All-Star untuk Liga Super, berdasarkan beberapa garis panduan, termasuk prestasi semasa pemain-pemain tersebut. Berikut adalah garis panduan yang kami gunakan untuk membina dua skuad tersebut:

1) All-Star XI ini hanya melibatkan 12 pasukan Liga Super

2) Untuk tujuan membina skuad Utara vs Selatan, kami membuat pembahagian geografi seperti yang berikut. Bahagian Utara mengandungi pasukan PKNP, Perak, Pahang, Kelantan, Kedah dan juga Terengganu. Manakala Bahagian Selatan pula mengandungi pasukan Johor Darul Ta’zim, PKNS FC, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka United dan juga Selangor.

3) Kami hanya dibenarkan mengambil maksimum tiga pemain daripada setiap pasukan. Sebagai contohnya kami tidak boleh mengambil lebih daripada tiga pemain daripada pasukan juara bertahan, iaitu Johor Darul Ta’zim.

4) Oleh kerana perlawanan ini merupakan perlawanan All-Star, kami tidak meletakkan sebarang kuota import. Misi kami adalah untuk membina pasukan terkuat, berdasarkan dua garis panduan yang tertera di atas.

MSL SELATAN ALL STAR XI

 

Untuk pasukan MSL Selatan All Star XI, kami menggunakan formasi 3-5-2 dan memilih Zamir Selamat (Melaka United) untuk menjaga gawang gol. Fadhli Shas, William Pachecho dan Zac Anderson – tiga tonggak pertahanan untuk pasukan JDT, Selangor dan PKNS, ditugaskan mengemudi bahagian pertahanan.

Di bahagian tengah pula, kami memilih untuk mengandingkan Natxo Insa, Tiago Gomes dan Evan Dimas, tiga pemain tengah yang mempunyai kebolehan yang cukup tinggi. Insa jelas merupakan antara pemain tengah terbaik di Malaysia, manakala Evan pula memainkan peranan yang cukup besar dalam membantu Bhayangkara menjadi juara Liga 1 Indonesia tahun lepas. Dia turut menjadi antara pemain yang paling penting dalam perancangan P. Maniam di Selangor buat masa sekarang.

Mahali Jasuli mengambil tempatnya di bahagian sayap kanan selepas tampil dengan aksi yang cukup cemerlang bersama PKNS di pentas Liga Super musim ini, manakala Gonzalo Cabrera (Johor DT) pula bermain di sayap kiri. Untuk bahagian serangan pula, kami memilih dua penyerang yang cukup berbisa – Rafael Ramazotti (PKNS) dan juga Rufino Segovia (Selangor).

MSL UTARA ALL STAR XI

 

Bagi skuad MSL Utara All Star XI pula, kami menggunakan formasi 3-5-2. Hafizul Hakim dipilih untuk menjaga gawang gol kami, manakala tiga pemain pertahanan yang menjadi sandaran skuad ini adalah Rob Cornthwaite, Matthew Davies dan juga Safuwan Baharuddin.

Kekuatan pasukan ini boleh dilihat di bahagian tengah, di mana Brendan Gan, Liridon Krasniqi dan Lee Tuck telah digandingkan. Manakala, Do Dong-Hyun, bintang Korea Selatan yang baru sahaja menjaringkan hat-trick untuk membantu Kelantan menewaskan Perak 3-2 di Kota Bharu minggu lepas, dipilih sebagai pemain sayap kiri, manakala Akhyar Rashid pula ditugaskan mencipta gerakan daripada bahagian sayap kanan.

Di posisi penyerang, kami memilih Francis Forkey Doe untuk bermain sebagai penyerang utama, manakala kapten pasukan Terengganu, Kipre Tchetche memainkan peranan ‘support striker’, di sebelah Forkey Doe.

RAMALAN ANDA

Jika kedua-dua skuad ini bertarung di atas padang, pasukan mana yang akan meraih kemenangan? Jika skuad MSL Utara All Star XI mempunyai kelebihan di bahagian tengah, skuad Selatan All Star XI pula mempunyai tiga penyerang yang cukup berbisa, selain turut mempunyai Natxo Insa untuk mengemudi bahagian tengah mereka.

Kongsikan ramalan anda di ruang komen Facebook page kami!