Liga Super Malaysia

Kelantan tekad mahu bangkit semula, sasarkan tiga mata menentang Seladang

Selepas tiga aksi yang mengecewakan, Kelantan kini merancang untuk mencuri tiga mata penuh dari Perak dalam perlawanan Liga Super mereka minggu ini.

Selepas tewas dua kali dan seri sekali dalam perlawanan mereka sebelum ini, Kelantan telah memecat jurulatih mereka, Sathit Bensoh dan Yusri Che Lah kini menduduki kerusi ketua jurulatih buat sementara waktu.

Berita baik buat peminat The Red Warriors pastinya kehadiran semula bintang mereka, Mohamed Ghaddar ke pangkuan Kelantan selepas berhijrah ke Johor Darul Ta’azim pada separuh kedua musim lalu.

Bagi ketua jurulatih sementara Kelantan, Yusri Che Lah, dia mahu jadikan perlawanan kali ini sebagai medan kebangkitan buat The Red Warriors.

“Setakat apa yang saya perhatikan memang pasukan perlu membuat rombakan kerana jika dilihat pada perlawanan sebelum ini memang kami gagal mencipta peluang mendapatkan jaringan.

“Oleh itu, saya sudah nampak beberapa taktikal yang boleh digunakan selain turut mengenal pasti ruang kelemahan yang terdapat pada skuad bimbingan Mehmet Durakovic.

“Apa pun saya mahu jadikan perlawanan nanti sebagai medan kebangkitan bagi Kelantan dan saya yakin pemain pun sudah dalam keadaan siap siaga untuk diturunkan pada perlawanan Sabtu ini,” kata Yusri seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

Pastinya Yusri mahu mencari tiga mata pertama mereka, tetapi Perak yang mempunyai rekod tewas sekali, satu menang dan satu seri sudah tentu tidak mahu tewas dan terus mengejar kelompok atas Liga Super.