Luar Negara

Pegawai polis terbunuh ekoran pergaduhan antara penyokong Bilbao dan Spartak Moscow

Seorang pegawai polis terbunuh selepas berlaku pergaduhan di antara penyokong sebelum perlawanan di antara Athletic Bilbao bertemu Spartak Moscow dalam saingan Liga Europa.

Penyokong dari kedua-dua kelab telah bergaduh di jalanan sekitar Stadium San Mames milik Bilbao, beberapa jam sebelum perlawanan kedua di antara kedua-dua kelab tersebut.

Athletic menang 3-1 dalam perlawanan pertama mereka di Russia pada minggu lalu, tetapi terdapat beberapa amaran berkenaan kekecohan yang bakal berlaku melibatkan ultras kelab Russia itu.

Menurut laporan daripada Sepanyol, lima orang telah dibawa ke Hospital Universiti Basurto sebelum pukul 10 malam waktu tempatan dan salah seorang anggota Ertzaintza – polis awam Basque – telah terkorban.

Beratus-ratus penyokong dari Russia dikhabarkan cuba bertandang ke Sepanyol tanpa tiket perlawanan. Bahkan, ada di antara mereka telah cuba melanggar larangan keluar kawasan.

Dilaporkan seramai 200 orang hooligan Russia telah berkumpul di Plaza Moyua pada pukul 6.30 petang, sebelum berlaku pertelingkahan di antara kumpulan penyokong pasukan 90 minit sebelum perlawanan.

Polis awam telah bertindak pantas, namun, pergaduhan seterusnya berlaku di daerah Deusto di Bilbao, apabila sekumpulan besar hooligan Russia menyerang penyokong tuan rumah.