Malaysia Liga Super Malaysia

“Jangan terima KPI yang bukan-bukan” – Itu nasihat Sathia kepada jurulatih di Malaysia

“Jurulatih berpegang pada kon­­t­rak, jangan terima KPI yang bukan-bukan kalau tidak sanggup.”

Itu nasihat yang diberikan oleh Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBS), B. Sathianathan kepada semua jurulatih bolasepak di kancah bolasepak Malaysia.

Baru-baru ini, Kelantan membuat keputusan untuk memecat Sathit Bensoh selepas hanya tiga perlawanan Liga Super. Bagi Sathia, keputusan tersebut tidak logik kerana Kelantan bukan pasukan yang mengandungi pemain berstatus bintang seperti Johor Darul Ta’zim.

“Kadang-kadang pihak pe­ngu­rusan terlalu mengikut sejarah. Kita kena ukur baju di badan sendiri. Jika dahulu, Kelantan memang kuat, memang boleh jadi juara kerana me­reka memiliki ciri-ciri pasukan sempurna,” kata Sathia kepada Kosmo!

“Bagaimanapun, keadaan sekarang telah berubah. Kelantan tiada lagi pemain yang handal atau setanding dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) atau pasukan-pasukan lain. Justeru, sebelum kita melantik jurulatih, kita mesti tahu kedudukan sebenar pasukan Kelantan. Jika kita ambil pendekatan tangkap muat tanpa memeriksa pengalaman, latar belakang atau kejayaan, apa yang boleh kita harapkan?

“Kadang-kadang pengurusan ter­­­­lalu mengharapkan keajaiban. Mereka sepatutnya harus tahu apa kemahuan selaras dengan ke­upayaan mereka sendiri. Jangan mengharapkan tiga perlawanan itu semua menang atau lebih tepat, jangan harap jadi juara jika pasukan tidak selaras dengan kemampuan sebenar.”

Sathia turut berpendapat bahawa perbincangan di antara jurulatih dan pihak pengurusan sesebuah pasukan perlu realistik dan setiap jurulatih perlu memastikan bahawa Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) yang ditetapkan sesuai dengan kualiti sesebuah pasukan.

“Kadangkala jurulatih pun ter­desak, dia rela ikut KPI yang dimahukan oleh pihak pengurusan semata-mata mendapatkan pekerjaan di sini. Sepatutnya apabila berlaku isu seperti ini, pecat sekali pengurusan yang menyarankan jurulatih itu dipecat,” tambah Sathia.