Luar Negara

Analisis: Kenapa Barcelona sering gagal memenuhkan Nou Camp?

Pada malam Khamis minggu lepas, Nou Camp menjadi tuan rumah kepada salah satu daripada perlawanan terpenting Barcelona musim ini. Tempat ke perlawanan akhir Copa del Rey menjadi rebutan dan kelab Catalan itu bertemu Valencia dalam aksi separuh akhir. Nama-nama besar seperti Lionel Messi, Luis Suarez, Andres Iniesta dan bintang terbaru mereka Coutinho akan beraksi pada malam tersebut. Jadi kenapa agaknya hanya 50,959 orang penyokong sahaja yang hadir ke stadium yang mampu memuatkan 99,000 orang?

“Saya tidak tahu apa lagi yang boleh dibuat untuk menarik lagi ramai penyokong hadir,” kata ketua jurulatih Barca, Ernesto Valverdo selepas perlawanan yang dimenangi Barca 1-0 itu. “ Saya rasa mungkin waktu sepak mula (9.30 malam waktu Sepanyol) menjadi masalah, kerana orang perlu berkerja pada keesokan harinya. Tambahan pula sekarang musim sejuk.” Mungkin ada betulnya apa yang diperkatakan. Dengan suhu serendah 6°C dan hujan, pastinya sukar untuk berada di stadium selama lebih kurang dua jam. Sepak mula yang agak lewat juga menjadi masalah, ditambah dengan undian separuh akhir Copa del Rey dibuat enam hari sebelum perlawanan, menyukarkan penyokong untuk merancang perjalanan mereka dalam tempoh masa yang singkat.

Namun, masalah ini sebenarnya bukan berlaku dalam perlawanan itu sahaja. Purata kehadiran untuk musim 2017/18 bagi Barcelona di Nou Camp adalah seramai 64, 218, terendah dalam dekad ini dan jauh berbeza dengan musim lalu di mana purata kehadiran seramai 77,527 orang dan ini termasuk perlawanan menentang Las Palmas ketika referendum kemerdekaan Catalan diumumkan serta perlawanan berlangsung secara tertutup. Tidak ada sekali pun jumlah penyokong mengatasi jumlah 90,000 di stadium yang cukup ikonik ini, di mana angka tertinggi adalah 89,514 ketika pusingan pertama Supercopa de Espana menentang Real Madrid. Itu pun ditambah dengan jumlah tinggi pelancong yang hadir dan bukan semuanya menyokong pasukan tuan rumah. Perlawanan berprofil tinggi seperti menentang Juventus di Liga Juara-Juara juga sekadar mencatat jumlah 78,656 penyokong.

Mengisi stadium yang diiktiraf sebagai stadium paling besar di Eropah sememangnya bukan tugas yang mudah buat Barcelona. Akan tetapi, kehadiran yang cukup rendah tahun ini sebenarnya mempunyai beberapa sebab.

Salah satu darinya adalah kerana kemerosotan jumlah pelancong ekoran serangan keganasan di Las Ramblas pada Ogos lalu serta kebimbangan mengenai kemerdekaan Catalan turut menjadi punca. Jumlah pelancong yang datang ke bandar berkenaan telah jatuh sebanyak 13.9% dan ini memberi impak kepada jualan tiket di kalangan pelancong ke Nou Camp dan muzium kelab berkenaan.

Dua masalah ini sebenarnya bukan sahaja membuatkan pelancong asing berfikir dua kali untuk ke bandar berkenaan, tetapi juga memberikan kesan kepada penduduk setempat juga. Hanya 56,480 orang penyokong yang hadir ke Nou Camp dalam perlawanan pertama mereka selepas insiden serangan Ogos lalu, walaupun mereka menentang Real Betis dan bermain pada masa yang mesra penonton. Naib Presiden Kelab, Jordi Cardoner dalam satu temuramah berkata: “ Penyokong hilang minat terhadap bolasepak apabila minda mereka sedang memikirkan benda lain yang lebih penting.”

Punca seterusnya adalah harga tiket. Walaupun kelab masih menjaga kebajikan pemegang tiket bermusim mereka, harga tiket untuk satu perlawanan di Nou Camp adalah antara yang paling mahal di Eropah. Untuk perlawanan La Liga musim ini, tiket paling murah berharga €39 dan itu adalah perlawanan menentang kelab yang baru naik dan kurang menarik seperti Alaves atau Deportivo La Coruna. Untuk perlawanan menentang pasukan di pertengahan liga seperti Athletic Bilbao, harganya meningkat ke €49. Untuk aksi Copa del Rey, walaupun ada tawaran istimewa untuk perlawanan di pusingan awal, tetapi bagi aksi separuh akhir bertemu Valencia yang lalu, harganya adalah semurah €29 tetapi terhad. Untuk tempat duduk lain, harganya sekitar €40 ke €60 dan agak mustahil untuk semuanya habis dijual dalam tempoh enam hari. Mungkin menonton Barcelona secara langsung di depan mata sudah menjadi terlalu mahal walaupun untuk pelancong. Untuk penduduk tempatan, sudah pasti harganya memang mahal. Penyokong yang kebiasaannya menonton hampir semua perlawanan Barca dalam tempoh sedekad lalu, kini mungkin terpaksa memilih perlawanan mana yang mereka mahu pergi kerana perlu berjimat.

Ada lagi satu punca kemerosotan jumlah penyokong dan perkara ini sebenarnya mampu menaikkan sedikit jumlah purata kehadiran pada penghujung musim. Penyokong mahu melihat perlawanan yang menarik di Camp Nou. Setakat ini Barcelona telah bertandang ke Atletico Madrid, Athletic Club, Valencia, Villareal, Real Madrid dan Real Sociedad dalam aksi liga. Dalam erti kata lain, kesemua pasukan ini masih belum bertandang ke gelanggang Barca dan ini mampu menaikkan jumlah penyokong yang hadir.

Walaupun begitu, kesemua perlawanan ini tetap tidak akan dapat menaikkan jumlah purata kehadiran ke Nou Camp bagi musim ini dan masalah ini perlu diselesaikan dengan cepat untuk kelab sebesar Barcelona. Pihak pengurusan kelab setakat ini telah mula mengumpulkan semua maklumat untuk menyelesaikan masalah ini. Dengan projek pembangunan stadium yang dirancang untuk menambah kapasiti penonton pada masa akan datang, adalah wajib bagi Barcelona memikirkan untuk mengisi tempat duduk yang sedia ada dahulu.

Oleh Euan McTear (www.tifofootball.com)