Anak buah Datuk Ong Kim Swee menunjukkan persembahan yang cukup cemerlang walaupun akhirnya tewas 1-2 di tangan Korea Selatan petang tadi.
Rekod Korea Selatan sebagai gergasi Asia bermakna mereka menjadi pasukan pilihan ramai untuk memenangi pertembungan ini, dan persepsi tersebut berkembang satu minit selepas sepak mula perlawanan apabila Cho Jae-Wan berjaya meledak untuk meletakkan Korea Selatan di hadapan.
Gol tersebut dijangka memberi Korea Selatan kelebihan dari segi momentum, namun anak buah Ong Kim Swee berjaya bangkit untuk mendominasi tempo perlawanan selepas itu. Walaupun gagal menjaringkan gol penyamaan, Malaysia jelas pasukan yang lebih bagus di babak pertama dari segi statistik pengawalan bola.
Skuad Jeong Jeong-yong cuka meningkatkan tempo perlawanan di babak kedua, namun pasukan Malaysia terus berani dalam menekan pertahanan Korea dan menggunakan barisan pertahanan yang tinggi untuk mengekang kemaraan Lee Keun-ho dan penyerang Korea Selatan yang lain.
Kim Swee akhirnya membuat keputusan untuk membawa masuk N. Thanabalan di pertengahan babak kedua dan tidak lama selepas itu, dia berjaya menjaringkan gol penyamaan Malaysia selepas hantaran yang cukup cemerlang daripada Safawi Rasid.
Skuad Korea jelas tersentak selepas gol tersebut dan corak permainan mereka menjadi lebih agresif. Hasilnya? Mereka berjaya meledak pada minit ke-85 melalui Han Seung-gyu dan gol tersebut akhirnya menjadi faktor yang memisahkan kedua-dua pasukan di penghujung 90 minit.
Kemenangan ini bermakna Korea Selatan akan bertemu dengan Uzbekistan di peringkat separuh akhir selepas anak buah Rayshan Khaydarov menumpaskan Jepun 4-0 petang semalam.