Asia AFC U23 Championship

“Kami akan cuba yang terbaik” – Ini janji Adam Nor Azlin kepada penyokong Malaysia

Kapten skuad-B23 Malaysia, Adam Nor Azlin telah berjanji untuk memberi yang terbaik di atas padang apabila mereka turun menentang Korea Selatan petang ini.

Selasa lepas, Malaysia berjaya mencipta sejarah selepas menewaskan Arab Saudi 1-0 untuk mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama.

Biarpun status Korea Selatan sebagai gergasi Asia menjadikan mereka pasukan pilihan untuk pertembungan ini, Adam yakin bahawa Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk menempah slot separuh akhir.

“Kami akan cuba sedaya upaya dan beri yang terbaik untuk memenangi perlawanan suku akhir ini dan mara ke peringkat separuh akhir,” ujar Adam, menurut laman Twitter rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Memang kami akan berdepan dengan cabaran yang besar, tetapi saya rasa bukan mustahil untuk saya dan rakan sepasukan menewaskan Korea Selatan,” tambah bekas pemain Selangor itu.

Perlawanan petang ini dijadualkan berlangsung di Stadium Kunshan pada jam 4.00 petang, dan pasukan yang memenangi pertembungan ini akan berjumpa dengan Uzbekistan di peringkat separuh akhir.