Tonggak pertahanan skuad B-23 tahun Malaysia, Dominic Tan yakin bahawa Korea Selatan mampu ditewaskan dalam perlawanan suku akhir kejohanan AFC B-23 di China pada hari Sabtu ini.
Sebagai naib juara Kumpulan C, Malaysia akan berdepan dengan juara Kumpulan D, iaitu Korea Selatan. Namun, Dominic percaya tiada sebab untuk mereka takut dengan pertembungan ini, walaupun skuad Jeong Jeong-yong jelas mempunyai lebih kualiti atas kertas.
“Biarlah jika orang mahu pandang rendah, kami akan kejutkan mereka. Kami hanya pamerkan permainan sendiri, hanya fikirkan mengenai pasukan sendiri dan tak perlu risau dengan pasukan lain,” kata Dominic kepada Arena Metro. “Kami sudah sampai ke tahap ini. Kami mesti teruskan dan harapnya dapat keputusan yang baik menentang Korea Selatan.
“Saya sudah lama tak beraksi perlawanan kompetitif seperti ini, Sukan SEA saya tak main, kelayakan AFC juga saya tak main jadi perlawanan pertama saya agak bergelut dan selepas itu saya sudah dapat rentak, kira sekarang saya semakin yakin,” tambah Dominic.
Anak buah Ong Kim Swee berjaya mencipta sejarah pada hari Selasa lepas, selepas berjaya menewaskan Arab Saudi untuk menjadi pasukan Asia Tenggara pertama untuk merangkul slot peringkat kalah mati dalam sejarah kejohanan ini.