Malaysia

Janji ‘EPL’ Pakatan Harapan: Penawar atau racun untuk bolasepak Malaysia?

Oleh Linda Adnan

Sebelum saya meneruskan penulisan, terlebih dahulu elok saya jelaskan bahawa saya bukanlah ahli kepada mana-mana parti politik. Malah, pada pemikiran saya, mengundi adalah sama seperti menyambar seekor ular. Tak kira samada kita menyambar pada bahagian kepala atau ekor, apa yang kita akan dapat adalah sama, tetap seekor ular.

Menjelang pilihanraya ini, kita akan disajikan dengan pelbagai janji-janji yang mana pastinya akan samada lebih besar atau lebih mengghairahkan daripada janji-janji sebelum ini. Malangnya, ramai dari antara kita yang tidak mempedulikan langsung bagaimana rupa atau cara janji-janji tersebut akan direalisasikan akibat terlalu asyik dan mabuk.

Kebanyakan janji-janji menjelang pilihanraya dibuat dalam keadaan membuta tuli, cetek pemikiran dan didorong keinginan untuk meraih kemenangan semata-mata. Hakikatnya, janji-janji politik tersebut sedikit sebanyak bagaikan projek pembinaan sebuah kereta konsep, ianya dibuat bukannya untuk disiapkan atau dikilangkan, hanya untuk tujuan suka-suka sahaja.

Baru-baru ini, peminat bolasepak tanahair telah dibentangkan janji oleh pemuda-pemuda dari Pakatan Harapan (PH) di mana ‘English Premier League’ (EPL) akan disiarkan secara percuma di RTM sekiranya parti mereka diundi sebagai kerajaan. Untuk makluman semua, EPL kini hanya boleh ditonton (dengan bayaran) melalui Astro. Monopoli tersebut terjadi kerana hanya Astro sahaja yang sanggup untuk membelanjakan lebih 500,000,000 Ringgit Malaysia untuk memperolehi hak penyiaran tersebut.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Bahas Bola melalui akaun Twitter rasminya, para peminat bola sepak telah menunjukkan peningkatan sentimen positif sebanyak 21 peratus manakala penurunan sentimen sebanyak 47 peratus. Di samping itu, baki sebanyak 32 peratus lagi tidak menunjukkan perubahan sentimen terhadap PH.

Walaupun mendapat tentangan dan cemuhan dari majoriti peminat dan penggiat sukan tanahair, PH terus mengukuhkan janji mereka dengan membentangkan faedah dan bagaimana ianya boleh direalisasikan. Model dasar yang turut diusulkan adalah sama sepertimana yang sedang diusahakan di Singapura.

Di sini saya nak menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir sangat mencemaskan. Isu-isu teknikal dan bagaimana janji tersebut boleh direalisasikan adalah perkara remeh dan bukan utama. Perkara yang mustahak dan yang harus diutamakan terlebih dahulu adalah perkara berkenaan etika pengurusan dana awam dan tanggungjawab sosial. Dan apabila diteliti secara keseluruhannya, saya fikir janji PH ini adalah perkara buruk.

Ianya sangat buruk kerana bukan sahaja melibatkan kelemahan dari segi keputusan pelaburan dan perbelanjaan dana awam, ianya juga boleh memudaratkan industri sukan bolasepak tempatan. Terutamanya kepada pembangunan liga bolasepak tempatan dan pasukan kebangsaan.

Dana awam seharusnya dibelanjakan pada komoditi-komoditi awam seperti sekolah dan hospital – di mana portfolio perbelanjaan atau pelaburan yang memberikan faedah kepada majoriti rakyat.

PH mendakwa bahawa EPL merupakan sebuah pengisian yang sangat berkualiti sehinggakan ianya harus mendapat kebolehcapaian yang tinggi dikalangan rakyat Malaysia. Dakwaan ini tiada substantif yang kukuh dan merupakan justifikasi lemah untuk membolehkan dana awam dibelanjakan pada komoditi swasta. Lebih-lebih lagi, apabila ianya dibandingkan dengan tarikan yang diperolehi liga tempatan yang mempunyai ikutan melebihi 7,000,000 orang rakyat Malaysia.

Pembelian hak penyiaran EPL pula merupakan perbelanjaan atau pelaburan yang melampau. Terutamanya apabila dibandingkan dengan harga untuk hak penyiaran bolasepak tempatan yang jauh lebih murah (kurang 10 peratus daripada harga hak penyiaran EPL).

PH yakin bahawa pelaburan untuk hak penyiaran EPL akan membawa keuntungan besar kepada RTM melalui pengiklanan dan pelbagai aktiviti komersil. Walaupun andaian ini berkemungkinan, ianya penting bagi pihak PH untuk memberikan kita unjuran aliran tunai dan jangkaan pendapatan bagi analisis lanjutan.

Pembiayaan untuk mendapatkan hak penyiaraan EPL juga bermakna kelab-kelab EPL, (bukan kelab liga tempatan) seperti Manchseter United, Liverpool, Chelsea akan memperolehi faedah secara terus disebabkan pengagihan pendapatan sepertimana yang diamalkan oleh EPL. Ini bermakna hanya Tony Fernandes sahaja rakyat Malaysia yang beruntung disebabkan hak milik beliau ke atas Queens Park Rangers. Ini juga bermakna lebih ramai lagi jutawan -jutawan dan syarikat besar dari Malaysia seperti QNet (Manchester City) yang akan lebih cenderung untuk melabur dalam kelab-kelab di EPL disebabkan pulangan komersil yang jauh lebih baik.

Mari kita fikirkan implikasi sekiranya perbelanjaan disalurkan untuk hak penyiaran liga tempatan pula. Selain daripada pengendali liga – FMLLP, kelab-kelab tempatan seperti Selangor, Terengganu, Sarawak, Kelantan dan lain-lain akan turut memperoleh keuntungan hasil daripada agihan pendapatan yang sekaligus akan mengurangkan beban kewangan yang selama ini banyak ditanggung oleh kerajaan negeri.

Di samping itu, kemasukan pemain-pemain bertaraf bintang dari Indonesia, Singapura, Filipina, Kemboja dan Vietnam ke liga tempatan (disebabkan pengenalan kuota import ASEAN) akan sedikit sebanyak mejanakan permintaan untuk hak penyiaraan liga tempatan di rantau ASEAN. Permintaan bagi hak penyiaran liga tempatan yang berkualiti serta rancangan-rancangan susulan akan turut menyumbang kepada peningkatan nilai komersil bola sepak kita.

Sudah tentu adanya kekurangan dengan pelaburan ke atas bola sepak tempatan juga. Saya tahu, liga kita pada masa ini ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan ada kalanya pengurusannya kelihatan sungguh mengerikan. Namun begitu, ada perkara yang jauh lebih teruk lagi, iaitu memiliki liga seperti negara jiran – hidup segan, mati tidak mahu. Kesian.

Sungguh mengecewakan apabila kita lihat pelaburan swasta dari dalam negara keluar menuju ke liga atau bolasepak luar. Menyedihkan lagi dan terhina apabila terdapat usaha untuk menyalurkan dana awam ke liga luar, seolah-olah liga tempatan sudah mati atau ghaib. Jangan pula kerana kera, anak sendiri mati kebuluran.

*Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Football Tribe Malaysia