Ketua jurulatih Arab Saudi, Daniel Teglia merasakan bahawa pasukannya tewas di tangan Malaysia malam tadi kerana gagal menyempurnakan peluang gol sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya rasa pemain saya tenang di atas padang, namun kami gagal menyempurnakan peluang gol yang kami cipta. Saya akui bahawa pemain saya ada nampak tertekan beberapa kali dan akibatnya kualiti hantaran kami tidak begitu bagus. Semua orang melihat bahawa Malaysia tidak banyak mencipta peluang, hanya satu kali sahaja sepanjang perlawanan,” kata Daniel Teglia, menurut laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Malaysia dan saya berharap yang terbaik untuk mereka,” tambah ketua jurulatih skuad B-23 Arab Saudi itu.
Malaysia berjaya mencipta sejarah menjadi pasukan Asia Tenggara pertama untuk mara ke peringkat suku akhir di pentas kejohanan AFC B-23 tahun, selepas gol tunggal Daniel Amier membantu skuad OKS untuk meraih tiga mata penting menentang Arab Saudi.
Sebagai naib juara kumpulan C, Malaysia akan turun berentap dengan juara Kumpulan D di Stadium Kunshan pada 20 Januari nanti.