Pasukan futsal Pahang Rangers mengumumkan kerjasama secara rasmi dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama kelab La Liga, Levante UD.
Presiden Pahang Rangers FC, Tengku Fahd Mua’adzam Shah Sultan Ahmad Shah berkata kerjasama itu bakal memberi manfaat yang bermakna apabila pemain Pahang Rangers diberi peluang berlatih selama dua hingga tiga minggu dengan pasukan futsal Levante di Valencia, Sepanyol.
“Kami bermula sebagai sebuah pasukan kecil yang bercita-cita tinggi dan kini pada 2020, kami gembira untuk mencatat satu sejarah baharu dalam arena futsal, menjadi kelab pertama menjalin kerjasama dengan pasukan dari luar negara.
“Ia satu kebanggaan buat kelab ini untuk mendapat tunjuk ajar dan perkongsian pengetahuan daripada kelab besar seperti Levante, bukan sahaja untuk membangunkan pemain dan jurulatih Pahang Rangers tetapi pembangunan futsal di Malaysia secara keseluruhan.
Barisan kejurulatihan Pahang Rangers turut berpeluang untuk menimba ilmu dengan Levante.
“Levante juga akan menerima kehadiran jurulatih kita menerusi program khusus seterusnya dapat membawa pulang kepakaran yang dipelajari daripada mereka.”
Musim ini, Pahang Rangers telah melantik Gerard Casas Ullastre sebagai ketua jurulatih baru bagi musim 2020 dan setakat ini mereka membawa masuk tonggak Harimau Malaya Awalluddin Mat Nawi, sekaligus menjadikan kesemuanya lapan pemain kebangsaan menyarung jersi pasukan itu musim ini.
“Kami percaya Gerard akan memastikan kerjasama dengan Levante ini akan menjadi satu kejayaan, seterusnya mempraktikkan sebaik mungkin pengetahuan yang akan dikongsi kedua-dua pasukan. Kami cukup berbesar hati dan berharap kerjasama ini akan memberi impak besar kepada arena futsal tanah air.”
Ahli Lembaga Pengarah Levante UD, Jose Danvila berkata mereka cukup teruja dapat menjalin kerjasama dengan Pahang Rangers sekaligus mengukuhkan hubungan dengan Asia Tenggara.
“Kedua-dua kelab berkongsi nilai dan keinginan yang sama, mahu memartabatkan futsal dan Pahang Rangers diketahui telah meningkat sebagai sebuah kelab yang kompeten serta mempunyai pelan strategik untuk terus mengorak langkah dan kami sedia membantu, berkongsi kepakaran untuk mereka mencapai sasaran ditetapkan.”
Kem latihan Pahang Rangers juga akan dibantu oleh jurulatih Levante sebagai persiapan musim liga 2020.
Pahang Rangers juga berharap dapat mengadakan perlawanan persahabatan bersama skuad futsal Levante dalam masa terdekat.
Naib juara liga 2019 itu juga sedang melihat kesesuaian untuk mendapatkan pemain import dari Levante setelah MPFL membenarkan pemain import untuk musim baharu.