Liga Super Malaysia Berita

Matyo bakal sertai kelab Thailand

Selepas pelbagai desas-desus mengaitkan perpindahan Norshahrul Idlan Talaha, beliau akhirnya membuat keputusan untuk menyertai kelab Thailand, Bangkok Glass Pathum United.

Ejen kepada Matyo, Abdul Halim Abdul Shukor mengesahkan perkara tersebut dengan Matyo bakal menjalani pemeriksaan perubatan pada Khamis ini dan dijangka menandatangani kontrak secara rasmi bersama kelab tersebut pada Jumaat ini.

“Beberapa bulan lalu, mereka ada mencari pemain Asean dan saya cadangkan nama Matyo,” katanya kepada MFL.

“Saya tidak lihat pada umurnya kerana saya yakin dia boleh beraksi selama dua ke tiga musim lagi kerana bakatnya masih ada selaku penyerang yang baik.

“Saya percaya dengan keupayaan teknikalnya, dia mampu bermain di Liga Thailand.

“Liga Malaysia antara liga kompetitif di rantau ini, malah turut memiliki pakej tersendiri untuk menarik perhatian banyak pihak luar dan saya yakin akan ada pemain dari liga tempatan boleh bermain di Jepun atau Korea Selatan selain Thailand.”

Bangkok Glass yang turut dikenali BG Pathum United baharu sahaja layak beraksi di liga divisyen pertama Thailand selepas merangkul juara liga divisyen kedua musim lepas.

Matyo merupakan pemain kedua Malaysia akan beraksi di liga Thailand selepas Dominic Tan menyertai Police Tero FC secara rasmi bulan lepas.

Pemain berusia 33 tahun itu juga bakal beraksi dengan pemain Singapura, Irfan Fandi dan bekas pemain Kedah, Alvara Silva.