Ketua jurulatih skuad B-23 tahun Malaysia, Datuk Ong Kim Swee jelas berbangga dengan pencapaian anak buahnya selepas mereka berjaya menewaskan Arab Saudi 1-0 dan sekaligus melayakkan diri ke suku akhir Piala AFC B-23 di China.
Gol tunggal Danier Amier pada minit ke-28 membantu Malaysia meraih tiga mata penting yang membenarkan mereka menjadi negara Asia Tenggara pertama untuk layak ke peringkat kalah mati dalam sejarah kejohanan ini.
“Ini merupakan keputusan yang cukup bagus. Pemain saya menunjukkan tahap keberanian dan kesungguhan yang tinggi di atas padang dan itu berjaya membawa kami ke peringkat suku akhir,” kata Ong, menurut laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Saya tidak mahu memberi komen tentang corak permainan kami kerana dalam situasi ini, keputusan akhir adalah perkara yang paling penting.
“Saya berpuas hati dengan keputusan perlawanan dan gembira untuk mara ke peringkat suku akhir. Kami berjaya mencipta sejarah dan pemain saya membuktikan kebolehan mereka untuk bermain bola sepak secara positif,” tambah ketua jurulatih Malaysia B-23 itu.
Sebagai naib juara Kumpulan C, Malaysia akan berdepan dengan juara Kumpulan D di Stadium Kunshan pada 20 Januari nanti.