Liga Super Malaysia

Bekas pemain QPR bakal beraksi di Liga M?

Perak dikatakan sedang mengintai peluang untuk membawa bekas pemain Queens Park Rangers, Bruno Perone ke Ipoh untuk musim 2018.

Menurut laporan Berita Harian, pemain yang berasal daripada Brazil itu merupakan salah satu calon pemain import, walaupun ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic enggan mengesahkan berita tersebut.

Bruno, yang baru sahaja dilepaskan oleh Gimnastic de Tarragona di Sepanyol, pernah beraksi untuk Queens Park Rangers sekitar tahun 2011 dan 2012.

Selain itu, Perak turut dikaitkan dengan bintang muda Borneo FC, Terens Puhiri, yang menjadi viral pada bulan Oktober lalu, melalui video jaringan gol yang dilakukanya ketika mereka bertemu Mitra Kukar dalam saingan Liga Indonesia.

Spekulasi ini mula sebar selepas presiden Borneo FC sendiri mendedahkan bahawa mereka sudah menerima pelbagai tawaran untuk mendapatkan Terens, termasuk satu tawaran daripada Perak. Namun, Durakovic tetap memilih untuk menafikan berita tersebut.

“Perak dikaitkan dengan banyak pemain dan saya terkejut dari mana laporan ini timbul. Sejujurnya, kami masih mempunyai masa untuk menyempurnakan pembentukan skuad. Saya tidak dapat mendedahkan apa-apa nama lagi kerana pemain ini masih mempunyai kontrak bersama kelab mereka.

“Jadi, tidak adil buat pemain, kelab mereka atau kami untuk mendedahkan apa-apa,” ujar Durakovic kepada Berita Harian.