
Anda sudah bersedia?
Meskipun Liga 1 Indonesia masih berbaki tujuh lagi perlawanan, pertemuan malam ini di antara Bhayangkara FC dan Bali United boleh memberi impak yang amat besar terhadap pertempuran untuk kejuaraan liga.
Bhayangkara sedang mendahului Liga 1 Indonesia ketika ini, tetapi Bali United tanya satu mata sahaja dibelakang mereka. Namun, perlawanan ini merupakan cabaran yang cukup besar untuk pasukan Serdadu Tridatu.
Bukan sahaja mereka harus bermain di kandang lawan, rekod mereka menentang Bhayangkara tidak begitu menggalakkan. Awal musim ini, kedua-dua pasukan bertempur di kandang Bali United, tetapi Bhayangkara berjaya meraih kemenangan 3-1 pada hari tersebut. Dan kali ini, pasukan kendalian Widodo Cahyono Putro itu sudah pasti akan berhati-hati dengan corak permainan mereka.
Bhayangkara bukan sahaja mempunyai rekod yang bagus, mereka juga mempunyai penyerang yang berbisa dalam bentuk Ilija Spasojevic. Bekas pemain Melaka United itu telah menjaringkan lima gol dalam lapan perlawanan, cejas berhijrah ke Surabaya.
Pasukan Bali United turut mempunyai mesin gol mereka yang tersendiri. Sylvano Comvalius merupakan penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia dengan 26 gol. Boleh dikatakan bahawa Comvalius sememangnya bergelut dengan kemerosotan prestasi pada bulan September, setelah hanya berjaya menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan. Tetapi, dia berjaya membuat 4 ‘assists’ dalam tempoh masa yang sama.
Perlawanan ini juga boleh dianalisis dari satu lagi perspektif. Kedua-dua pasukan mempunyai kuartet yang berbisa. Di Bali United, ads Comvalius, Irfan Bachdim, Nick van der Velden dan juga Stefano Lilipaly. Kuartet ini telah berjaya menjaringkan 38 gol untuk Bali United setakat ini. Manakala bagi Bhayangkara FC pula, mereka mempunyai Awan Setho, Putu Gene Juni Antara, Evan Dimas dan juga Ilham Udin – empat pemain yang sering menjadi nadi pasukan The Great Alligator itu.
Secara umumnya, perlawanan ini mempunyai dinamik yang amat menarik. Pemenang perlawanan ini akan meletakkan diri mereka di posisi yang bagus untuk kejuaraan liga, dengan hanya berbaki enam perlawanan selepas itu. Manakala pasukan yang tewas akan memberi peluang kepada PSM untuk mendekatkan diri mereka dari tempat ketiga.
Apa ramalan anda untuk perlawanan ini?