Malaysia Asia

Skuad Malaysia U22 bakal menerima durian runtuh RM25K

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan bahawa skuad Malaysia U22 bakal menerima durian runtuh RM25,000 setiap seorang hasil daripada kejayaan meraih tiket secara merit ke kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, tahun depan.

Pengumuman itu dilihat bakal menjadi suntikan motivasi terbaik selepas badan induk berkenaan sebelum ini turut mengumumkan insentif sebanyak RM6,000 kepada setiap pemainnya. Sumbangan itu adalah sebahagian daripada RM4 juta sumbangan daripada Sultan Johor Sutan Ibrahim Sultan Iskandar kepada FAM Selasa lalu.

MENJUNJUNG KASIH KEPADA DYMM SULTAN JOHOR ATAS KURNIA SUMBANGAN RM4 JUTA KEPADA PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)Saya…

Football Association of Malaysia (Official)さんの投稿 2017年8月2日

 

Sekiranya skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu terus cemerlang dengan meraih ibu segala pingat pada temasya sukan SEA itu nanti, imbuhan lebih lumayan dijangka bakal menanti skuad itu.

“Terpulang kepada pencapaian pingat emas. Sudah tentu saya akan bagi lebih lagi (insentif).”

“Kalau membanggakan negara, Insya-Allah ada rezeki… sudah tentu kerana mereka memang layak mendapatnya,” kata Tunku Ismail selepas perjumpaan bersama pasukan bola sepak dan futsal negara.

Tunku Ismail juga yakin semua pemain akan melakukan yang terbaik.

“Saya sangat realistik dan tidak akan cepat menghukum pasukan kebangsaan serta tidak mudah hilang harapan.”

“Saya yakin negara lain juga melakukan persiapan terbaik. Thailand pasukan kuat, Indonesia juga melakukan persiapan terbaik.”

“Semangat bermain di tempat sendiri pastinya lain. Saya tidak mahu letak harapan tinggi tetapi menjangkakan semua pasukan (bola sepak lelaki dan wanita, futsal lelaki dan wanita,) memberi komitmen seratus peratus,” ujarnya.

Tunku Ismail juga memberitahu, kilauan emas tetap menjadi sasaran untuk acara bola sepak Sukan SEA yang akan bermula 14 Ogos ini.

“Sasarannya adalah emas dan aksi yang terbaik. Tetapi saya tidak mahu kita kecewa dan sebagainya jika tak mencapai sasaran.”

“Saya juga tidak mahu nilai pemain mahupun pengurusan disebabkan perkara itu. ”

“Apa yang saya pentingkan kejayaan jangka panjang. Saya akan menilai mungkin tempoh empat tahun akan datang,” tambahnya.