Kelab lama Neymar Jr., Santos, dikhabarkan meminta sebahagian wang hasil perpindahan bekas pemain mereka itu selepas rasmi berpindah dari Barcelona ke PSG minggu lalu.
Sebelum berhijrah ke Barcelona, Neymar memulakan karier bersama skuad senior Santos pada 2009. 4 musim beraksi di Santos, Neymar mencetak 70 gol dan 30 assist dari 134 penampilan.
Pada 2013, Neymar berpindah ke Barcelona dan 4 tahun kemudian beliau memutuskan untuk menyertai PSG selepas PSG menebus klausa pelepasan dari Barcelona berjumlah €222 juta.
Memetik laporan dari Marca, selepas mendengar berita tersebut, Santos segera menghubungi pihak Barcelona untuk bertanyakan mengenai peratusan pembahagian hasil dari perpindahan tersebut. Santos dilaporkan mempunyai hak sekitar 4%-5% dari harga perpindahan jika Neymar keluar dari Barcelona.
Dari peratusan yang ada dalam perjanjian itu, Santos dianggarkan akan menerima sekitar € 9 juta dari Barcelona tetapi diberitakan kelab dari Catalan itu enggan membayarnya.
Barcelona Enggan Layan Permintaan Santos. Kenapa?
Barcelona menganggap pemergian Neymar ke PSG adalah tidak seperti dalam klausa perjanjian ketika mendapatkannya dari Santos.
Media-media dari Sepanyol melaporkan bahawa Neymar menerima wang dari pihak PSG untuk menebus kontrak beliau bersama Barcelona dan sejurus bayaran dibuat, Neymar adalah berstatus ‘free-agent’ atau tiada kelab.
Selepas itu barulah PSG menandatangani Neymar sebagai sorang pemain baru mereka. Ini dianggap sebagai untuk melepaskan diri dari menjadi mangsa Financial Fair Play.
Selain itu, Santos juga meminta wang sejumlah € 4.5 juta sebagai bayaran dari klausa kontrak trial Neymar bersama Barcelona pada 2013.