Luar Negara

Kontrak Profesional Pertama Wan Kuzain Bersama Swope Park Rangers

Swope Park Rangers hari ini telah mengumumkan secara rasmi Wan Kuzain sebagai pemain baru mereka apabila menandatangani ‘wonder kid’ itu dengan kontrak penuh USL. Wan Kuzain sudah bersama Swope Park Rangers dari awal tahun 2017 lagi tetapi dibawah kontrak sebagai pemain akademi, namun sekarang sudah berstatus kontrak profesional penuh bersama SPR.

Wan Kuzain sebelum ini telah beraksi bersama Universiti Akron dalam bola sepak peringkat kolej, tetapi beliau akan melepaskan kelayakannya sebagai pemain NCAA untuk beraksi bersama Swope Park Rangers.

“Saya sangat gembira dan teruja”, kata Wan Kuzain.

” Saya mahu berterima kasih kepada Sporting Kansas City dan Swope Park Ranger kerana memberikan kepercayaan kepada saya dan saya teruja untuk beraksi disini”

Menurut ketua jurulatih Swope Park Rangers, Nikola Popovic, Wan Kuzain merupakan salah seorang prospek terbesar yang ada dalam akademi kami.

“Dia menunjukkan intelligence dalam perlawanan, seorang pemain yang pantas dan saya cukup yakin jika kami memberikan masa untuk dia berkembang dan meletakkan dia dalam persekitaran yang kompetitif seperti Swope Park Rangers, dia akan menjadi seseorang untuk diperhatikan satu hari nanti.”

Wan Kuzain telah membuat 2 penampilan bersama Swope Park Rangers musim ini, dalam 2 perlawanan pertama – menang bertemu OKC Energy FC dan Portland Timbers 2 pada 25 dan 29 Mac. Beliau telah melakukan 90.6% completed pass dari 96 hantaran dalam kedua-dua perlawanan tersebut, meletakkannya dibelakang pendahulu dalam pasukan yang dipegang oleh Erik Palmer-Brown, 92.2%.

Pemain berusia 18 tahun itu menyertai akademi  Sporting KC pada Ogos 2016 selepas beraksi selama beberapa tahun bersama St. Louis Gallagher Soccer Club dan menandatangani kontrak akademi bersama Swope Park Rangers selepas itu.

Wan Kuzain merupakan pemain ke 4 menandatangani kontrak profesional secara terus bersama Swope Park Rangers dari Akademi Sporting KC, mengikuti jejak penyerang Nansel Selbol, pemain tengah Felipe Hernandez dan Will Little.

Beliau yang dilahirkan di Carbondale Ill itu, telah membuat 20 penampilan bersama skuad Sporting KC U18 dalam kejohanan US Soccer Development Academy 2016-2017, dan menjaringkan 4 gol. Selain itu, pemain berstatus warga Amerika ini juga pernah berlatih di Belanda bersama akademi kelab Eredivisie, Fayenoord dan dipilih mewakili pasukan kebangsaan US U17.