Liga Super Malaysia

Negeri Sembilan Masih Pencabar Kuat Kejuaraan Dan Promosi Liga Super 2018

Negeri Sembilan tewas untuk kali pertama tetapi masih lagi menjadi pencabar kuat untuk kejuaraan dan promosi ke Liga Super 2018.

Negeri Sembilan mencatat kekalahan pertama dalam saingan Liga Perdana pada perlawanan semalam (11.7.2017) kepada K.Lumpur 2-3. Ia merupakan perlawanan ke-7 di gelanggang lawan dan ke-15 keseluruhannya.

foto:Facebook persatuan bolasepak N.Sembilan

Kekalahan tersebut masih mengekalkan Negeri Sembilan cemerlang di gelanggang sendiri. Dengan mencatat 7 kemenangan san 1 seri tanpa tewas bermakna Negeri Sembilan hanya mencicirkan 2 mata dari 24 mata keseluruhan.

Hanya pasukan JDT II yang mampu mencuri 1 mata di Stadium Tunku Abdul Rahman setakat ini. Kesemua 11 pasukan pencabar Negeri Sembilan tewas apabila mengunjungi Paroi.

Negeri Sembilan agak sederhana di gelanggang lawan, dengan hanya mengutip 10 mata dari 21 mata secara keseluruhan. Negeri Sembilan masih perlu membuat kunjungan ke Kuala Terengganu dan Ipoh untuk menentang Terengganu dan PKNP untuk baki liga perdana. 2 pasukan ini adalah pencabar kuat untuk saingan liga perdana bersama K.Lumpur.

2 perlawanan itu mungkin menjadi kunci untuk masing-masing menjarakkan mata bagi merebut 2 slot promosi jika keempat-empat pasukan mampu mencatat keputusan baik dengan pasukan bukan pencabar.

Negeri Sembilan hanya mampu menang 2 kali dalam 7 kunjungan ke gelanggang lawan tetapi hanya tewas sekali. Kebanyakkannya perlawanan berkesudahan dengan seri. Agak menarik  semua keputusan seri dengan ada jaringan. Isu Negeri Sembilan tiada kemampuan langsung tidak timbul.

 

Daripada 6 pasukan mencabar slot promosi sudah mengecil kepada 4 pasukan

Memasuki perlawanan ke-15 Liga Perdana 2017, hanya 4 pasukan kelihatan bakal menjadi pencabar kuat. Jarak perbezaan mata antara pasukan pertama hingga ke-4 hanya berbeza 1 mata. Dijangka persaingan sengit bakal berlaku dan mungkin menunggu sehingga perlawanan terakhir untuk menentukan pasukan yang akan ke Liga Super 2018.

Diantara 4 pasukan itu N.Sembilan dan Terengganu mempunyai kekuatan penyokong berbanding Kuala Lumpur dan PKNP. Kuala Lumpur mempunyai sejarah yang baik, PKNP kelihatan seperti pasukan ke-2 Perak. Apabila Perak meningkatkan keupayaan pemain dengan membawa masuk ramai pemain bereputasi besar, PKNP mendapat lebihan pemain yang berkualiti.

Negeri Sembilan adalah pasukan terbaik melibatkan perlawanan diantara keempat-empat pasukan ini. N.Sembilan berjaya mencuri 9 mata dari 12 keseluruhan dari 3 pencabar utama. Masih ada baki 2 perlawanan iaitu menentang Terengganu dan PKNP.

Terengganu, PKNP dan Kuala Lumpur semuanya tumbang  di Paroi, tetapi Kuala Lumpur membuktikan mereka masih berada dalam cabaran dengan tidak membenarkan Negeri Sembilan mengutip mata di gelanggangnya.

Isu Negeri Sembilan adalah konsisten dan tumpuan dalam 2 saingan

Negeri Sembilan menunjukkan pasukan ini sukar ditewaskan apabila mendapat jadual 1 perlawanan seminggu ataupun ketika saingan fokus kepada 1 saingan. Negeri Sembilan mencatat 7 kemenangan dalam 7 perlawanan pertama dan melebarkan kepada 8 kemenangan dan 1 seri dalam 9 perlawanan. Ia satu catatan yang memberansangkan.

Apabila saingan Piala FA mula masuk ke dalam jadual, Negeri Sembilan hilang fokus dan mencatat keputusan yang menurun di Liga perdana. Negeri Sembilan mara agak jauh dalam saingan Piala FA sehingga ke peringkat separuh akhir

Ketika Negeri Sembilan menghadapi 4 perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir, Negeri Sembilan tercicir banyak mata di saingan liga. Hanya mencatat 4 seri dalam 4 perlawanan. Corak ini menunjukkan Negeri Sembilan hilang fokus di liga untuk memberi lebih fokus di saingan Piala FA.

Negeri Sembilan perlu melihat 7 perlawanan terakhir di liga bakal mengulangi situasi seperti diatas kerana saingan Piala Malaysia sudah bermula. Negeri Sembilan sudah pasti tidak mahu melepaskan waktu terbaik untuk muncul kembali ke Liga Super tetapi juga mahu memberi cabaran dalam saingan Piala Malaysia.

Kekalahan pertama Negeri Sembilan berlaku selepas pasukan ini perlu mengharungi 2 perlawanan Piala Malaysia, seri menentang 2 pasukan dari liga super iaitu Pahang dan T Team. Adakah Negeri Sembilan mempunyai saiz dan keupayaan yang cukup untuk memberi saingan kepada 2 pertandingan serentak?