Liga Super Malaysia

Fakta Sebenar Isu Pemotongan Mata Dan Sekatan Perpindahan

Pasukan yang ingin menyertai Liga Malaysia perlu mengesahkan penyertaan yang diberikan tarikh akhir iaitu pada atau sebelum 31 Disember 2016.

 

Dokumen Yang Perlu DiHantar

  

Untuk melengkapkan pendaftaran penyertaan, pasukan harus memuatnaik Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan KWSP, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Perkeso dan Surat Selesai Bayaran/Tunggakan LHDN ke sistem Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB). Surat-surat selesai bayaran/tunggakan adalah untuk bayaran/tunggakan dari tahun- tahun sebelum tahun 2017.

 

Surat Peringatan

Memandangkan beberapa pasukan tidak memenuhi tarikh akhir pendaftaran yang ditetapkan, Football Malaysia LLP (FMLLP) telah menghantar surat peringatan pertama pada 27 Januari 2017. Selain itu, pihak FMLLP telah menghubungi pasukan melalui telefon sebagai peringatan untuk melengkapkan proses pendaftaran.

Pada 7 Mac 2017, surat peringatan kedua telah dihantar dan pihak FMLLP sekali lagi telah menghubungi pasukan-pasukan melalui telefon bagi melengkapkan proses pendaftaran melalui SPMB sebelum 31 Mac 2017.

 

Mata Di Potong

Oleh kerana kegagalan melengkapkan proses pendaftaran, pemotongan 6 mata perlawanan akan dikenakan kepada pasukan dan berkuatkuasa bermula 2 Mei 2017. Pasukan tersebut adalah :

a) Liga Super 2017: Kelantan FA & T-Team FC 
b) Liga Premier 2017: ATM FA & Perlis FA 

Untuk makluman juga, jika pasukan-pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran seperti yang dinyatakan di atas sebelum 15 Mei 2017, maka pasukan tersebut akan dilarang daripada mendaftar pemain baharu semasa tempoh pendaftaran kedua sehingga perkara berkaitan diselesaikan sepenuhnya.

 

Daftar Pemain Baru

Namun begitu, pasukan-pasukan hanya boleh mendaftar pemain baharu jika pasukan-pasukan memperolehi pendapatan hasil dari pengurangan jumlah pemain yang sediada dalam pasukan di mana jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah yang diperolehi hasil dari transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah yang dijimatkan hasil dari pengurangan jumlah pemain keseluruhan. Rasional tindakan ini adalah pendaftaran pemain baharu boleh dibuat jika ianya mendatangkan keuntungan atau kebaikan kepada pasukan.

Sebagai contoh penjualan Mohammad Ghaddar kepada Johor Darul Ta’zim membolehkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang/tunggakan/gaji. Ini adalah objektif jelas FMLLP untuk membantu KAFA yang mengalami masalah kewangan.

 

Penyingkiran Ke Divisyen Terbawah / Penyertaan Terbatal

Selain itu, jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017 iaitu 31 Oktober 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan pasukan tersebut ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana pasukan tersebut sepatutnya bertanding untuk musim 2018.

Kegagalan pasukan tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum permulaan musim 2018 boleh menyebabkan penyertaan pasukan tersebut dibatalkan untuk musim 2018.

 

Kemuka Rayuan Dan Dokumen – T-Team, Perlis & ATM

Setelah dikenakan hukuman pemotongan 6 mata dan sekatan perpindahan pemain semasa jendela kedua, pasukan T-Team, Perlis dan ATM telah mengemukakan dokumen yang tertangguh beserta rayuan mereka kepada FMLLP.

Setelah diteliti permohonan dari pasukan tersebut, FMLLP telah membatalkan sekatan perpindahan pemain dan pemotongan mata telah dikurangkan daripada 6 mata kepada 3 mata kepada pasukan T-Team dan Perlis sementara rayuan pasukan ATM masih dalam siasatan lanjut.

Surat dari FMLLP bertarikh 2 Mei 2017 dengan jelas menyatakan bahawa pasukan yang tidak mengemukakan dokumen yang diperlukan sebelum 15 Mei 2017 akan dikenakan sekatan pendaftaran pemain baharu pada jendela kedua.

Surat FMLLP bertarikh 2 November 2016, 4 Januari 2017, 27 Januari 2017, 7 Mac 2017 dan 2 Mei 2017 juga jelas menyatakan ianya berkaitan dengan pendaftaran pasukan, bukannya berkenaan isu gaji.

 

Tiada Usaha Dari KAFA Melalui FMLLP

Berkenaan KAFA yang mempunyai masalah kewangan, mereka sepatutnya berhubung dengan FMLLP untuk menjelaskan situasi dan pastinya FMLLP akan membantu dan membuat pertimbangan sewajarnya tetapi malangnya tiada usaha telah dibuat dari KAFA berkenaan isu ini.

KAFA juga sepatutnya berbincang dengan KWSP, Perkeso dan LHDN untuk merancang pelan pembayaran secara ansuran dan pastinya FMLLP akan mempertimbangkan perkara ini. Sekali lagi ditegaskan, tiada usaha dari KAFA untuk berbincang bersama FMLLP.

Kesimpulannya adalah mudah. Untuk mendaftar, berikan kepada FMLLP dokumen seperti yang telah disyaratkan. Tiada dokumen bermakna pendaftaran tidak lengkap dan akan didenda seperti pemotongan 6 mata pasukan serta sekatan perpindahan.

Peraturan yang wujud adalah untuk kesemua pasukan. Kalau pasukan lain yang dikenakan pemotongan mata boleh melengkapkan dokumen pendaftaran, kenapa Kelantan tidak boleh?