Berapakah jarak perjalanan ‘away day’ paling jauh yang pernah kita tempuhi untuk sebuah perlawanan liga Malaysia?
Beberapa hari yang lalu dalam perlawanan play-off Liga Premier Russia, sebuah kelab dari Khabarovsk – SKA Khabarovsk telah menang perlawanan play-off bertemu Orenburg dan akan beraksi dalam Liga Premier Russia untuk musim 2017/18.
Lokasi kelab SKA Khabarovsk ini adalah di sebelah timur Russia, 30 kilometer dari sempadan China – wilayah Heilongjiang.
Imej dibawah menunjukkan taburan pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Premier Russia musim 2017/18.
Kedudukan mereka cukup jauh berbanding kelab-kelab lain yang majoritinya berpangkalan disekitar Moscow atau ditengah-tengah Russia.
Berdasarkan keputusan Liga Premier Russia 2016/17 dan juga pasukan yang telah mendapat layak dari Russia Football National League (FNL), skuad SKA Khabarovsk perlu menempuhi perjalanan ‘away day’ yang cukup jauh.
Perlawanan Paling Dekat
Mengikut google map, perlawanan ditempat lawan yang paling dekat adalah bertemu Ural Yekaterinburg, dengan jarak darat sekitar 6,630 km sehala.
Jika menaiki kenderaan darat, ia akan mengambil masa selama 82 jam, manakala jika menggunakan pengangkutan udara pula 8 jam diperlukan untuk sampai ( termasuk transit ).
Perlawanan Paling Jauh
Untuk perlawanan paling jauh pula, pemain-pemain SKA Khabarovsk perlu menempuh perjalanan selama 11 jam 30 min untuk sampai ke FC Krasnodar (termasuk transit ).
Jika dikira jarak darat, kedua-dua kelab ini terpisah sejauh 9,028 km, dan mengambil masa selama 113 jam untuk sampai ke destinasi!
Untuk ‘orang luar’ isu logistik ini mungkin akan menjadi isu utama pasukan, tetapi bagi pihak SKA Khabarovsk, sebenarnya mereka sudah biasa kerana telah beraksi dalam saingan Liga FNL, dimana taburan kedudukan pasukan yang bersaing tidak jauh bezanya.