Berita

Ghaddar Buas, Pemain Sanjungan Kelantan & Igauan Ngeri Skuad Kebangsaan

Penyerang import sanjungan The Red Warrior, Mohammed Ghaddar sekali lagi mempamerkan bisanya apabila menjaringkan 4 gol dalam perlawanan bertemu Pulau Pinang semalam yang berkesudahan Kelantan menewaskan Pulau Pinang 5-1 di Batu Kawan.

4 jaringan itu juga menjadikan Ghaddar sebagai penjaring terbanyak setakat ini dengan 16 gol dari 9 penampilannya bersama pasukan Kelantan untuk musim 2017 ini. Sebagai rekod, dalam 5 perlawanan terbaru, Ghaddar telah menjaringkan 13 gol dengan ratio jaringan 2.6 gol setiap perlawanan!

Bagi Pulau Pinang pula, keputusan ini mengesahkan mereka tidak akan dapat beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2017 apabila berada dikedudukan terakhir carta Liga Super selepas 10 perlawanan, walaupun berbaki 1 perlawanan, mereka tidak akan berjaya memotong kedudukan Sarawak.

Ghaddar Igauan Ngeri Pasukan Kebangsaan

Dalam keseronokan penyokong pasukan Kelantan terhadap prestasi Ghaddar, perlu juga diingatkan bahawa, ianya juga merupakan satu amaran kepada barisan skuad kebangsaan Malaysia yang akan bertemu Lebanon dalam kelayakan akhir Piala Asia 2019.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama Lebanon, Hong Kong dan Korea Utara. Prestasi ‘gilo’ Ghaddar ini perlu diambil perhatian oleh Tan Cheng Hoe khususnya.

Sebaliknya, dipihak Lebanon, mereka sudah mengetahui segalanya berkenaan Malaysia menjelang perlawanan pada 13 Jun 2016.

Tan Cheng Hoe perlu bijak mencari kelemahan Ghaddar untuk digunakan dalam mematahkan serangan pasukan Lebanon nanti.