Pertembungan kedua Persija Jakarta bertemu Johor Darul Ta’azim pastinya lebih panas berbanding pertemuan pertama mereka. Ketika itu, Persija telah membuat keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama mereka kerana mahu fokus perlawanan akhir Piala Presiden. Mari kita lihat lima pemain yang mungkin menjadi tumpuan dalam perlawanan itu nanti.
Safiq Rahim
Mungkin Safiq tidak dapat mencapai prestasinya seperti dahulu, tetapi pengalaman dan kepimpinannya sangat diperlukan oleh JDT. Pengalamannya beraksi di Stadium Gelora Bung Karno ketika bersama Malaysia pada tahun 2010 pastinya berguna terutamanya berdepan lautan penyokong Persija yang begitu fanatik. Gandingannya bersama Natxo perlu mantap untuk membuka ruang bagi JDT menjaringkan gol.
Fadhli Shas
Selain Safiq, Fadhli juga mempunyai pengalaman cukup berharga bermain di Stadium Gelora Bung Karno. Beraksi dalam dua perlawanan akhir di stadium tersebut, 2010 dan 2011 seharusnya memberikan Fadhli gambaran bagaimana situasi perlawanan itu nanti. Dalam perlawanan pertama mungkin tugas Fadhli agak mudah tanpa kelibat Marko Simic, tapi perlawanan ini dia perlu lebih bersedia dan kurang melakukan kesilapan jika mahu memastikan gawang JDT tidak dibolosi.
Marko Simic
Ketiadaannya dalam perlawanan pertama sangat dirasai oleh Persija. Bisanya di depan gawang diperlukan jika Macan Kemayoran mahu menang dalam perlawanan ini. Simic telah menjaringkan lima gol setakat ini dengan tiga golnya dijaringkan ketika menentang Tampines Rovers. Jika Marko Simic tidak dikawal ketat, tinggi peluangnya untuk menambah kepada tiga jaringan tersebut dalam saingan Piala AFC.
Afiq Fazail
Afiq menunjukkan aksi mantap ketika beraksi untuk Malaysia ketika menentang Mongolia. Tenaga dan kerajinannya diperlukan untuk membantu pertahanan dan serangan. Bagaikan pemangsa yang mengejar mangsa, Afiq perlu bermain ala Gatusso untuk menutup segala ruang yang ada di bahagian midfield dan membolehkan Safiq dan Natxo memberikan fokus lebih di bahagian serangan.
Ismed Sofyan
Pemain bertaraf lagenda buat Persija, sama seperti Bambang Pamungkas. Ketua pasukan Persija ini berusia 38 tahun, tetapi tetap merupakan pemain penting buat Persija. Berada dalam ‘Best Eleven AFC Cup’ bagi minggu kedua perlawanan. Biarpun sudah berusia, pemain ini tetap cergas beraksi di bahagian bek sayap kanan untuk bertahan dan membantu serangan. JDT perlu berjaga-jaga dengan pakar sepakan penjuru dan sepakan percuma ini.