Asia Berita

Persija Jakarta mahu bangkit ketika menentang JDT, tiket perlawanan sudah mula dijual

Persija Jakarta enggan terlalu kecewa dengan kekalahan menentang PSMS Medan dan fokus untuk perlawanan mereka yang seterusnya bertemu kelab Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’azim.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Stadium Gelora Bung Karno pada hari Selasa ini.

Persija tewas mengejut kepada pendatang baru Liga 1 Indonesia, PSMS Medan 3-1 di Stadium Teladan, Medan pada hari Jumaat.

Namun, ketua jurulatih Persija Jakarta,Stefano Cugurra Teco menerima keputusan tersebut dan mahu pasukannya bangkit dalam perlawanan bertemu JDT nanti.

“Ya kita perlu lupakan perlawanan ini dan fokus pada perlawanan seterusnya (bertemu JDT).”

Pihak pengurusan Persija Jakarta juga sudah mengumumkan penjualan tiket bagi perlawanan bertemu JDT itu nanti.

Tiket termurah bagi perlawanan tersebut akan dijual bermula dengan harga Rp75 ribu (RM20) sehingga Rp250 ribu (RM70) untuk tempat duduk VVIP. Selain itu ada juga tiket berharga Rp 150 ribu (RM42) untuk kategori 1 dan tempat duduk VIP Rp 200 ribu (RM56).

Tiket perlawanan ini sudah mula dijual secara online kepada penyokong Persija dan bagi kategori 2 dan 3 sudah diedarkan kepada pengurus pusat The Jakmania menerusi koordinator wilayah masing-masing.

Nampaknya Stadium Gelora Bung Karno akan di’oren’kan pada hari Selasa nanti. JDT perlu bersedia menerima sambutan hangat di stadium keramat mereka itu nanti. Bukan calang-calang pasukan boleh beraksi di bawah tekanan The Jakmania di stadium yang boleh mengisi 76,127 orang itu.