Malaysia Liga Super Malaysia

Veenod mahu ambil tindakan, Presiden KAFA selar tindakan buat kenyataan akhbar

Selepas satu masalah, timbul pula masalah yang lain.

Pemain Kelantan, S. Veenod bersedia untuk mengambil tindakan terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ekoran tindakan pasukan tersebut yang menggugurkannya.

Apa yang menjadi masalah buat Veenod adalah dia menerima berita tersebut menerusi media sosial serta akhbar dan bukan daripada pihak KAFA sendiri dalam bentuk surat bertulis.

Jika benar digugurkan, bekas pemain Selangor itu mahu KAFA membayar ganti rugi kerana menggugurkannya bukan atas dasar kecederaan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias menulis di laman Facebook peribadinya menyelar tindakan Veenod yang membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepadanya.

“Veenod masih mempunyai kontrak dengan KAFA dan kerana masih di bawah kontrak, apa tujuannya membuat kenyataan akhbar tanpa bertanya kepada saya dahulu? Sepatutnya pemain tidak dibenarkan membuat kenyataan tanpa merujuk kepada majikan.”

Nasib Kelantan semakin hari semakin tidak menentu. Disebabkan Kelantan sudah terkeluar dari saingan Piala FA, skuad The Red Warriors mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Pattani FC di Stadium Rainbow Pattani pada hari Ahad.