Berita AFC Cup

Persija Jakarta sasar tiga mata menentang JDT

Menjelang pertemuan bertemu JDT pada hari Selasa nanti, ketua jurulatih Persija Jakarta, Stefano Cugurra Teco mensasarkan kemenangan untuk pasukannya dalam aksi kelima Kumpulan H Piala AFC yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu nanti.

“Kami perlu menghormati mereka (JDT) , tetapi sekarang mereka yang akan bertandang ke Jakarta, jadi kita perlu berkerja keras. Kami mempunyai mata yang sama setakat ini, dengan kemenangan kami akan menjadi pendahulu kumpulan.”

Persaingan bagi Kumpulan H dilihat sengit kerana tiga pasukan, Persija Jakarta, JDT dan kelab Vietnam Song Lam Nghe An mempunyai mata yang sama. Ketiga-tiga pasukan bersaing untuk layak ke pusingan seterusnya dengan Song Lam Nghe An akan bertemu satu lagi pasukan dalam kumpulan tersebut, Tampines Rovers yang sudah pasti tidak akan layak ke pusingan seterusnya.

“Kesemua tiga kelab, Persija, JDT dan Song Lam Nghe An mempunyai 7 mata. Dari segi head to head kami lebih bagus daripada Song Lam Nghe An tetapi tidak dengan JDT.

“Kami mempunyai dua lagi perlawanan, satu menentang Johor dan satu lagi menentang Tampines, kalau kami boleh menang kedua-dua perlawanan, pasti kami layak (ke pusingan seterusnya),” ujar Stefano.

Dalam perkembangan berkaitan, tiket tempat duduk VVIP dan VIP bagi menyaksikan perlawanan di antara Persija dan JDT sudah habis dijual dalam masa sehari selepas penjualan dibuka.

Baki tiket-tiket tempat duduk yang lain juga dikhabarkan sudah laris seperti ‘pisang goreng panas’. Selain tiket-tiket yang dijual, ada juga tiket-tiket dijual khusus kepada penyokong kuat Persija, The Jakmania’, yang diedar kepada koordinator wilayah mereka.