Malaysia Liga Super Malaysia

Kedah catat kemenangan pertama, Akhyar muncul hero di Batu Kawan

Kedah berjaya mencatat kemenangan pertama musim Liga Super 2018 selepas mereka menewaskan PKNP 1-0 di Stadium Batu Kawan petang ini. Akhyar Rashid muncul sebagai hero skuad Ramon Marcote dengan gol kemenangan pada minit ke 84′, selain turut bermain dengan cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan tersebut.

Marcote terpaksa membuat beberapa pertukaran untuk perlawanan ini, ekoran kad merah yang diterima oleh Liridon Krasniqi ketika berdepan dengan Perak tempoh hari. Abdul Halim Saari dimasukkan ke dalam kesebelasan pertama, manakala bintang Indonesia, Andik Vermansyah turut diberi peluang membuat penampilan pertama.

Bagi PKNP pula, Coach Burn membuat keputusan untuk meletakkan Keo Sokpheng di bangku simpanan, tetapi Gisung Yeon dan Alif Safwan terus mengemudi jentera serangan mereka, manakala Bryan See diberi kepercayaan mengawal gawang gol PKNP.

KEDAH MENGAWAL TEMPO

Walaupun bermain di bawah cuaca yang cukup panas, skuad Ramon Marcote berjaya mengawal tempo perlawanan dari minit pertama, dan tidak memberi PKNP ruang di bahagian tengah. Akhyar, yang bermain di sayap kiri, sering memberi tekanan terhadap pertahanan PKNP dan berjaya mencipta sekurang-kurangnya tiga peluang bagus sepanjang babak pertama. Namun, kegagalan pemain Kedah, terutamanya Pablo Pallares, memanfaatkan peluang-peluang tersebut bermakna skor perlawanan kekal 0-0 pada penghujung 45 minit pertama.

Di babak kedua pula, Kedah terus bermain dengan tempo yang positif, dengan Andik dan Akhyar menjadi tonggak utama mereka di bahagian serangan. PKNP turut mempunyai dua peluang bagus untuk membuka tirai jaringan, tetapi  tandukan Luben Nikolov dan percubaan Jeon tersasar. Pada minit ke-84, Kedah berjaya meledak melalui Akhyar Rashid, selepas Andik membuat hantaran yang bagus daripada sayap kanan. Gol tersebut akhirnya membantu Kedah meraih tiga mata berharga, selepas tewas di dalam dua perlawanan pertama.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN

Tiada calon lain untuk perlawanan ini selain Akhyar Rashid. Bintang muda Malaysia itu menunjukkan aksi yang cemerlang sepanjang 90 minit, dan sentiasa mencari ruang di atas padang. Setiap kali bola tiba di kakinya, Kedah secara automatik nampak lebih bahaya, dan pemain yang berusia 18 tahun ini berjaya mencipta sekurang-kurangnya enam peluang bagus. Tetapi impak terbesarnya hadir pada minit ke-84, apabila dia berada di posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang yang terhidang di hadapan gol PKNP, untuk membantu skuad Helang Merah mendapatkan tiga mata pertama mereka musim ini.

LANGKAH SETERUSNYA

Liga Super akan berehat selama dua minggu dan itu akan memberi peluang kepada Ramon Marcote untuk terus memantapkan skuad Kedah ini. Mereka akan turun berdepan dengan pendahulu Liga Super, PKNS FC di Stadium Darul Aman pada 23 Februari akan datang. Bagi PKNP pula, Abu Bakar Fadzim perlu mengenal pasti beberapa masalah penting, sebelum pertembungan mereka menentang Kuala Lumpur di Stadium Batu Kawan pada 25 Februari.