Kuota pemain asing di atas padang dikurangkan kepada 6 pemain berbanding 7 pemain seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Pindaan itu dibuat hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL ke-14 Bagi Penggal 2021-2025 selepas mengambil pertimbangan semula impak kepada Liga Malaysia dan juga perkembangan pemain tempatan.
Kelab-kelab juga berpendapat kehadiran lebih ramai pemain ASEAN tidak memberi banyak impak kepada prestasi pasukan.
Ini bermakna, kuota pemain asing di atas padang adalah seramai 6+3 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 ASEAN berbanding sebelum ini 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 ASEAN.
“Keputusan untuk mengurangkan seorang pemain asing di atas padang dilihat dapat memberi sedikit keseimbangan di antara pemain tempatan dan pemain asing dalam kesebelasan utama pasukan pada hari perlawanan,” kata MFL.
“MFL percaya kehadiran pemain asing akan meningkatkan daya tarikan serta saingan dalam Liga Malaysia namun dalam masa yang sama perkembangan pemain tempatan juga menjadi agenda utama MFL untuk membantu FAM memperkasakan skuad Harimau Malaya.”
Bagaimanapun, jumlah kuota pemain asing yang boleh didaftarkan dalam satu pasukan masih kekal kepada 15 pemain.
Perbelanjaan kelab bakal dipantau menerusi pelaksanaan FFP dengan menguatkuasakan mekanisme gaji siling ‘salary cap’ sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab musim ini.