Negeri Sembilan mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2 setelah menewaskan Kelantan United 4-2 malam tadi.
Kemenangan itu bermakna mereka menempah slot ke suku akhir untuk bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Negeri Sembilan bagaimanapun tersentak dengan jaringan seawal tiga minit pasukan lawan hasil rembatan kencang pemain import dari Filipina Jose Porteria, untuk gol pertama Kelantan United namun tuan rumah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan Casagrande di minit ketujuh.
Skuad kendalian K. Devan menambah duka pasukan lawan dengan jaringan kedua menerusi R. Barathkumar pada minit ke-19, hasil hantaran cemerlang Mahali sebelum pemain import dari Myanmar Hein Htet Aung menambah jaringan ketiga pada minit ke-34.
Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan United merapatkan jurang 2-3 hasil penyudah Indra Putra Mahyuddin yang menerima sepakan penalti pada minit ke-64, menewaskan penjaga gol Mohammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.
Negeri Sembilan yang turut menerima sepakan penalti berada di kedudukan selesa 4-2 selepas pemain import dari Sepanyol Youssef Ezzejiari, menyudah jaringan keempat pada minit ke-87 dan keputusan kekal hingga ke wisel penamat.
Sementara itu, Pahang mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia selepas meraih kemenangan dengan agregat 5-2, dengan menundukkan skuad Harini FT 2-0.
Kapten Kpah Sherman muncul wira pasukan dengan meledak kedua-dua jaringan, sekali gus memastikan kemenangan buat Pahang.
Kemaraan itu sekali gus meletakkan skuad kendalian Fandi Ahmad, bertemu juara empat kali Kuala Lumpur City di pentas lapan terbaik kelak.
Skuad Tok Gajah dilihat lebih menguasai permainan seawal minit perlawanan untuk memburu jaringan, namun hanya mampu memecah kebuntuan pada minit ke-42, hasil gol Kpah Sherman yang membuat sepakan gunting cantik di hadapan gol.
Pada minit ke-51 separuh masa kedua, Kpah sekali lagi meledak gol untuk pasukannya, menjadikan keputusan perlawanan 2-0 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.