Luar Negara

Bekas tonggak Arsenal umumkan persaraan daripada bolasepak

Bekas bintang Arsenal, Tomas Rosicky telah secara rasmi mengumumkan keputusan untuk bersara daripada dunia bolasepak.

Pengumuman tersebut dibuat melalui laman web rasmi Sparta Prague, kelab pertama dan juga terakhir dalam karier Rosicky. Pemain yang berusia 37 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada Sparta Prague, kelab yang memberi peluang kepadanya ketika dia masih muda lagi.

“Saya telah menimbangkan keputusan ini secara teliti dan saya sedar bahawa keadaan fizikal saya tidak lagi mampu memenuhi keperluan seorang pemain bolasepak,” kata Rosicky.

Kredit Foto: Getty Images

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sparta kerana membesarkan saya dan membuka peluang kepada saya untuk beraksi di luar negara. Lebih penting, Sparta turut memberi peluang untuk saya menamatkan karier di kelab yang saya sayang ini,” tambah bekas pemain Czech Republic itu.

 

Rosicky meninggalkan Sparta pada tahun 2001 untuk menyertai kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund. Di sana, Rosicky berjaya membuat 149 penampilan dan berjaya menjaringkan 20 gol.

Pada tahun 2006, dia berhijrah ke Arsenal dan menghabiskan 10 tahun bersama pasukan yang berpangkalan di London itu. Pemain tengah itu berjaya memenangi dua trofi Piala FA bersama The Gunners, di samping membuat 170 penampilan untuk mereka.