Luar Negara

El Clasico: Messi dedahkan ‘hadiah’ yang dia mahu untuk Hari Krismas

Lionel Messi berpendapat bahawa kemenangan ke atas Real Madrid pada hujung minggu ini merupakan hadiah terbaik yang boleh dia terima untuk Hari Krismas.

Barcelona akan berkunjung ke Santiago Bernabeu pada hari Sabtu ini dengan kelebihan sebelas mata di carta La Liga dan Messi tekad mahu membantu meraih tiga mata supaya mereka dapat menamatkan 2017 dengan mood yang positif.

“Memang penting untuk kami meraih kemenangan kerana perlawanan ini selalu istimewa,” kata Messi kepada Marca.

“Real Madrid… kita akan mendapat kelebihan yang bagus jika berjaya menang di stadium mereka. Banyak lagi perlawanan liga untuk kami harungi tetapi tiga mata menentang Real Madrid akan menjadi hadiah terbaik untuk Krismas,” tambah Messi.

 

Perlawanan ini turut dilabel sebagai pertemuan di antara dua pemain terbaik di dunia, yang kini turut seri dari segi jumlah Ballon d’Or yang pernah dimenangi oleh kedua-dua pemain.

Messi menjadi pemain pertama untuk memenangi lima anugerah Ballon d’Or, namun Cristiano Ronaldo telah berjaya menyamakan kedudukan selepas memenangi anugerah Ballon d’Or kelimanya minggu lepas.