Liga Super Malaysia Berita

Baru dua perlawanan, Pahang sudah rehatkan Thomas Dooley

Walaupun merupakan nama besar dalam dunia bola sepak, Thomas Dooley juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa bola sepak Malaysia.

Menurut laporan terkini dari wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, jurulatih berasal dari Amerika Syarikat itu telah direhatkan oleh Pahang.

 

Keputusan itu kemungkinan besar dibuat setelah tewas dua kali berturut-turut dalam saingan Liga Super, apabila tewas kepada Selangor 3-1 dan Perak 3-0.

Atas sebab tersebut, Pahang membuat keputusan untuk melantik kembali Dollah Salleh mengendalikan pasukannya, bermula dengan perlawanan menentang Melaka United malam ini.

Walaupun tindakan merehatkan jurulatih adalah normal dalam bola sepak Malaysia, ia sudah lama tidak dipraktis oleh mana-mana pasukan Liga Malaysia.

Kali terakhir ia dilakukan adalah pada 2018, apabila Selangor merehatkan P Maniam dan melantik Nazliazmi Nasir sebagai jurulatih sementara.

Namun, sejak proses penswastaan kelab bermula dengan serius tahun lalu, peminat mengharapkan setiap pasukan Liga Malaysia tidak lagi mengamalkan sebarang perbuatan tidak profesional, bagaimanapun ia masih berlaku pada musim 2021.