Luar Negara Berita

Liridon Krasniqi cipta sejarah, jadi pemain Malaysia pertama beraksi di A-League

Liridon Krasniqi akhirnya membuat penampilan pertama bersama pasukan Newcastle Jets dalam saingan A-League musim 2021, sejak dipinjamkan oleh JDT awal bulan Februari lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu membuat penampilan julung-julung kalinya dalam perlawanan menentang Sydney FC, apabila masuk menggantikan pemain tengah, Angus Thurgate pada minit ke-84.

Beliau bagaimanapun tidak dapat membantu pasukannya mencari gol penyamaan sehingga tamat perlawanan yang menyaksikan Jets tewas 2-1 kepada Sydney.

Luka Prso menjaringkan gol buat Jets pada minit ke-21, namun Sydney berjaya menjaringkan dua gol di separuh masa kedua hasil jaringan Milos Ninkovic pada minit ke-64 dan Alex Wilkinson pada minit ke-80.

Walaupun beraksi dalam tempoh cukup singkat, Liridon mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama Malaysia yang beraksi dalam liga profesional tertinggi Australia, iaitu A-League.

Dengan penampilan pertamanya, Liridon mungkin akan mendapat lebih banyak minit permainan dalam perlawanan-perlawanan akan datang.