Walaupun baru sahaja meraikan kejuaraan Liga Super semalam, Safawi Rasid bakal berlepas ke Portugal malam ini bagi menyertai kelab Portimonense SC.
Perkara itu disahkan oleh pegawai JDT yang memaklumkan kepada media bahawa Safawi akan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi mengucapkan selamat jalan kepada pemain berusia 23 tahun itu.
Akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers serta pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Safawi.
Sejak melakukan debut pada 27 Januari 2017, Safawi melakukan 101 penampilan bersama JDT, menjaringkan 47 gol dan melakukan 18 bantuan jaringan.
Safawi juga telah memenangi empat kejuaraan Liga Super, dua Piala Malaysia dan tiga Piala Sumbangsih bersama Harimau Selatan.
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora juga mengesahkan Safawi akan berangkat ke Portugal dan kelibat pemain itu tidak ada lagi pada musim depan bersama JDT.
“Pemain sebenarnya cukup beremosi pada malam ini kerana Safawi akan meninggalkan kami tidak lama lagi.
“Jadi perlawanan ini cukup berlainan kepada kami kerana mahu memberikan sesuatu kepadanya sebelum dia melangkah pergi selain kejayaan ini saya tujukan kepada TMJ.
“Buat masa ini kami masih tidak tahu sama ada dia boleh lagi atau tidak beraksi dalam perlawanan akan datang tetapi apa yang pasti dia memang akan ke luar negara dan selamat maju saya ucapkan,” katanya.