Liga Super Malaysia Berita

Sehari lepas JDT raih trofi Liga Super, MFL akui benarkan penonton ke stadium

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membuat permohonan untuk membawa masuk ahli keluarga pemain berskala kecil ketika aksi CIMB Liga Super bertemu Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan memberitahu kemasukan ahli keluarga pemain berjumlah tidak melebihi 100 orang telah dimaklumkan kepada JDT oleh pengendali Liga Malaysia itu.

Jelas Dato’ Ab Ghani, JDT telah membuat permohonan rasmi kepada MFL untuk membawa masuk ahli keluarga pemain berskala kecil bersempena penyerahan trofi CIMB Liga Super kepada JDT yang mempertahankan kejuaraan liga kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1.

“Oleh kerana perlawanan ini merupakan perlawanan yang menentukan juara CIMB Liga Super dan akan diadakan penyerahan piala liga, pihak JDT ada membuat permohonan rasmi dengan MFL untuk membawa sejumlah ahli keluarga pemain untuk memasuki stadium.

“Hasil perbincangan bersama setelah melihat struktur venue dan sambutan kejuaraan, MFL bersetuju untuk membenarkan bilangan ahli keluarga pemain berskala kecil dibawa masuk dengan mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan penjarakan fizikal di dalam stadium,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani memberitahu kelulusan khas itu diberikan selepas melihat segala aspek pematuhan SOP khusus untuk kumpulan ahli keluarga pemain JDT ini telah dipatuhi sepenuhnya.

“Saya menyangkal di mana terdapat satu gambar tular yang menunjukkan peminat masuk ke stadium beramai-ramai dan itu adalah perkara tidak benar.

“Ini kerana tidak ada mana-mana peminat masuk dan hanya ahli keluarga pemain JDT berskala kecil sahaja berada dalam stadium selain pegawai-pegawai yang bertugas dalam stadium,” katanya.