Liga Super Malaysia Berita

Luqman Hakim Shamsudin tangguh lagi pergi Belgium

Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dilaporkan terpaksa menangguhkan penerbangannya ke Belgium semalam akibat penularan wabak koronavirus di Eropah yang semakin berleluasa.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, dan menjangkakan pemain berusia 18 tahun itu hanya akan ke Eropah bagi menyertai KV Kortrijk bulan depan.

Namun pada masa sama, Luqman tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan Selangor II yang akan turun dalam perlawanan pembukaan saingan Liga Perdana menentang Terengganu II, Ahad ini.

“Luqman Hakim masih di kampung halaman kerana pada asalnya, penerbangannya dijadualkan hari ini (semalam),” katanya kepada Astro Arena.

“Tapi kerana koronavirus, dia dinasihatkan tidak ke sana. Buat masa ini, dia akan laporkan diri dalam masa terdekat dan menjalani proses pemulihan akibat kecederaan.”

Buat masa ini, Luqman masih berlatih bersama skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu bagi meningkatkan tahap kecergasannya yang akan mengambil masa beberapa minggu sebelum ke Eropah.