Selepas menyertai Selangor, Nicholas Swirad menganggap kisah Red Giants seakan-akan serupa dengan kelab Inggeris, Manchester United.
Swirad sendiri lahir di Manchester dan dapat merasakan persamaannya.
“Mereka ada sejarah seperti United. Menang begitu banyak piala setiap tahun tetapi baru-baru ini masih belum dapat melakukannya, hampir sama dengan United,” katanya kepada The Star.
Walaubagaimanapun, Swirad tetap berbangga dapat menyertai Selangor.
“Rasa sungguh bertuah dapat menyertai pasukan seperti ini. Bertahun-tahun saya berusaha untuk berada di tahap ini, dan saya tahu ini adalah keputusan yang tepat.”
“Ada jurulatih bagus dan suasana pasukan juga menyenangkan.”
Swirad merupakan salah seorang daripada dua pemain PKNS yang menyertai Selangor, selain Rodney Calvin Akwensivie.
Sepanjang musim lalu, Swirad membuat 23 penampilan dalam semua pertandingan dan menjaringkan tiga gol.
Walaupun diakui Selangor masih dalam proses untuk kembali ke arah kegemilangan, Swirad mahu membantu Red Giants mencapai matlamat tersebut.
“JDT masih lagi jauh di depan tetapi Selangor sedang cuba mengembalikan kegemilangannya dan saya akan melakukan yang terbaik untuk mereka.”