Kolum Eropah

Aguero lancar perang psikologi

Penyerang berbisa Manchester City mengakui bahawa Liverpool merupakan satu-satunya pasukan yang memberi saingan dalam perebutan Kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

‘Ini mungkin pertembungan ‘clasico’ dalam siaran televisyen. Tetapi ‘clasico’ sebenar bagi kami adalah menentang Manchester United’, katanya kepada pemberita.

Menurut laporan Goal.com, Aguero berpendapat Liverpool adalah pasukan yang memberikan tentangan sengit sejak empat musim yang lalu.

‘Perlawanan menentang Liverpool adalah sukar. Tetapi ketika saya sampai disini, United merupakan pencabar liga’, tambahnya lagi.

Ini merupakan musim kelapan Aguero bersama The Citizens setelah mula menyertai pada tahun 2011. Pemain kebangsaan Argentina itu sudah menyumbat sembilan gol buat City bagi musim ini.

Aguero turut menambah bahawa Liverpool sahaja yang boleh mencalarkan maruah City dan mereka juga mengejar kejuaraan liga untuk beberapa tahun sebelum ini tetapi gagal. 

Kedua-dua pasukan ini akan bertembung pada saingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini. City dan Liverpool terikat tanpa jaringan pada perlawanan di Anfield musim lepas. Namun, mereka berjaya menumbangkan anak buah Jurgen Klopp 2-1 di gelanggang sendiri.

Liverpool mengungguli carta liga dengan 31 mata, enam mata di hadapan Manchester City. Jika anak buah Pep Guardiola mampu menewaskan The Reds pada awal pagi Isnin, maka mereka berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Liverpool serta mengurangkan jarak mata kepada tiga mata.

Kali terakhir City menang di Anfield dalam saingan liga adalah pada tahun 2003 yang menyaksikan dua gol jaringan Nicolas Anelka berjaya memadam gol awal Milan Baros.