Malaysia Berita

Safawi idam beraksi di Eropah

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid mengidamkan peluang untuk beraksi di eropah. Prestasi semasa Safawi yang agak cemerlang ini juga telah membuka mata para pemerhati bola sepak tempatan.

Menurut sumber BHarian, pemain berusia 22 tahun ini berpendapat bahawa dia tidak pernah merasa puas dengan prestasinya dan sentiasa inginkan lebih lagi. Justeru, benua eropah pastinya menjadi sasaran utama untuk dia mengembangkan bakat yang ada.

Beraksi di eropah merupakan cita-cita buat semua pemain bola sepak profesional. Oleh itu, ianya bukanlah perkara yang pelik jika dia menyatakan hasrat tersebut.

Namun begitu, pemain kelahiran Dungun ini tidak akan pernah sesekali untuk membelakangi majikannya iaitu JDT. Segala apa pun yang berlaku, mesti melalui JDT terlebih dahulu.

Safawi yang lebih mesra dengan panggilan Pawi dikalangan peminat bola sepak tempatan juga berpendapat bahawa mana-mana pasukan tiada masalah asalkan mampu membuka lebih peluang buat dirinya.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata Liga Malaysia bukan lagi medan buat Safawi beraksi. Malah, Serbegeth atau Shebby menasihatkan agar pemain ini berhijrah ke kelab luar negara untuk mengembangkan bakat dan membawa dirinya ke tahap yang lebih tinggi.

Safawi berterima kasih atas pujian tersebut dan berjanji untuk terus memberikan yang terbaik diatas padang. ‘Saya sentiasa fokus dan beri yang terbaik buat pasukan. Biar orang menilai’, tambahnya lagi.

Safawi akan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang tiga perlawanan yang akan dihadapi pada bulan November ini. Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Tajikistan sebagai persiapan sebelum bertemu Thailand dan Indonesia bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.