Kolum Eropah

Klopp pertahan Mane

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mempertahankan Sadio Mane dengan mengatakan pemain itu bukanlah seorang ‘diver’.

Ini berikutan insiden yang berlaku ketika Liverpool bertemu Aston Villa pada Sabtu lepas dimana Sadio Mane dikatakan cuba untuk mendapatkan sepakan penalti dengan merebahkan badan di dalam kotak penalti. Pemain Antarabangsa Senegal itu kemudiannya dilayangkan kad kuning kerana tindakan tersebut.

‘Dia (Sadio Mane) bukan seorang ‘diver’. Mungkin itu bukan penalti tetapi ada sentuhan yang menyebabkan dia jatuh di dalam kotak penalti’, katanya lagi.

Klopp juga 100% yakin jika perkara sedemikian berlaku kepada Manchester City pasti mereka juga mahukan penalti kerana pemain mereka dikasari di dalam kotak penalti. 

Dalam pada itu, penjaga gawang Liverpool, Alisson Becker turut mengakui akan kualiti yang ada pada Sadio Mane. ‘Mane seorang pemain penting kepada pasukan. Dia telah membuktikan dengan menjaringkan gol dan membuat satu bantuan gol pada Sabtu lepas’, tambahnya lagi.

Berdasarkan rekod sebelum ini, Liverpool memperoleh tiga penalti ketika menentang Leicester City, Tottenham Hotspur, dan Aston Villa di penghujung perlawanan yang menyaksikan mereka menang tipis dengan bantuan sepakan penalti tersebut. Apa yang mencuri perhatian ialah ketiga-tiga penalti itu berpunca daripada Sadio Mane yang dikasari di dalam kotak penalti.

Atas sebab itu juga ramai penyokong dan peminat bola sepak mula melabel Mane sebagai seorang ‘diver’ kerana seringkali mendapat penalti setelah dikasari di dalam kotak penalti.