Menjelang pertemuan menentang Vietnam yang dijadualkan akan berlangsung pada khamis ini, skuad Harimau Malaya bakal turun dengan mengharapkan sentuhan tiga ayam tambatan. Berdasarkan rekod pertemuan lepas, kali terakhir Malaysia mencatat kemenangan adalah pada 11 Disember 2014 apabila skuad bimbingan Dollah Salleh menang 4-2 di Stadium Nasional My Dinh.
Antara pemain yang masih kekal bersama skuad sekarang ialah Farizal Marlias dan Norshahrul Idlan Talaha. Pada bulan Disember tahun lepas, skuad Harimau Malaya seri 2-2 dan tewas 1-0 dalam aksi akhir Piala AFF. Vietnam yang kini menghuni tangga ke-99 dalam ranking dunia Fifa dilihat mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Sebaliknya, Malaysia pula yang kini di tangga ke-158 pula perlu terus konsisten dalam memberikan persembahan terbaik diatas padang. Tiga ayam tambatan akan menjadi taruhan buat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe. Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, dan Brendan Gan akan memikul tugas berat yang telah diamanahkan.
Syafiq Ahmad
Penyerang kelahiran Pulau Pinang ini kini dilihat berada di puncak prestasi dengan persembahan menarik dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Bukan sahaja beraksi dengan baik bersama pasukan negara, tetapi turut menjadi kunci utama di Johor Darul Ta’zim (JDT). Hatrik ketika menentang Sri Lanka tempoh hari akan menjadi tonik buat Syafiq yang akan mengemudi barisan serangan negara.
Safawi Rasid
Seorang lagi pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sering sahaja mengucar-kacirkan barisan pertahanan pihak lawan dengan larian pantas dan sepakan deras. Safawi juga mempunyai kelebihan dalam mengambil sepakan percuma dengan kaki kirinya. Peranan pemain berusia 22 tahun ini dalam skuad negara lebih kepada mencipta peluang disebelah sayap.
Brendan Gan
Pemain tengah Perak ini sentiasa memberikan yang terbaik ketika beraksi. Kerajinannya di tengah padang sememangnya menjadi nadi buat pasukan negara. Tidak pernah kenal erti penat mungkin menjadi moto hidup pemain ini, Brendan sentiasa berlari dan bijak melorongkan bola kepada rakan sepasukan semasa membuat serangan. Pemain ini kerap menjaringkan gol daripada luar kotak penalti ketika beraksi bersama pasukan Perak.