Luar Negara Berita

Kubo ke RCD Mallorca : Langkah yang bijak atau sebaliknya?

Real Madrid telah bersetuju untuk meminjamkan bintang muda mereka, Takefusa Kubo selama semusim kepada RCD Mallorca.

Kubo yang menyertai Real Madrid pada musim panas lalu telah berjaya memenuhi dada akhbar di seluruh dunia apabila menjadi pemain pertama daripada Jepun yang menyertai Real Madrid, sebuah kelab gergasi di Sepanyol.

Pemain berusia 18 tahun telah menyertai pasukan utama pada aksi pra musim di Amerika dan telah menunjukkan aksi yang baik sepanjang diturunkan oleh Zidane.

Kembali ke Sepanyol, beliau diletakkan bersama-sama Raul Gonzalez, pengurus Castilla – pasukan muda Real Madrid – dan juga pernah turun dalam beberapa aksi persahabatan kelab terbabit.

Tetapi bakat yang beliau tunjukkan masih gagal untuk memberi kepercayaan kepada Zidane bagi mengekalkan beliau di pasukan utama dan kelab juga telah membuat keputusan bahawa terlalu awal untuk beliau menembusi pasukan utama.

Adakah ianya pilihan yang tepat?

Kubo sebelum ini pernah diturunkan menentang Bayern Munich pada aksi pra musim telah mendapat pujian orang ramai dengan bakat yang dimiliki oleh beliau.

Ramai juga pengkritik bola sepak yang memandang tinggi kemampuan Kubo sepanjang permulaan musim beliau dengan Real Madrid.

Bintang muda Jepun telah berjaya membuat rekod sendiri sejak kecil lagi apabila beliau menyertai La Masia – akademi Barcelona yang melahirkan ramai bintang – sejak umurnya masih dibangku sekolah.

Selepas beberapa masalah yang dihadapi oleh Barcelona akibat daripada pelanggaran undang-undang melibatkan pemain muda, Kubo terpaksa untuk berpindah kembali ke Jepun dan menabur bakti di sana sebelum Real Madrid datang menjengah.

Pada minggu pertama di Real Madrid, Kubo telah berjaya menangkap mata ramai pihak dengan kemampuan beliau bertutur di dalam bahasa Sepanyol.

Tambahan daripada itu, kemampuan beliau ketika turun berlatih bersama-sama skuad utama jauh lebih baik daripada beberapa pemain sedia ada.

Perpindahan ke RCD Mallorca mungkin dilihat satu kerugian buat Madrid, tetapi jika dilihat daripada sudut pembangunan pemain muda, ianya adalah langkah baik.

Beliau akan lebih mendapat peluang untuk bermain serta mampu untuk bersaing bagi merebut tempat di pasukan utama jika diberikan peluang.

Kelab melihat langkah ini dapat membantu Kubo meningkatkan potensi beliau di masa hadapan.