Pertemuan Kedah dan Perak pada pentas akhir Piala FA 2019 bakal menjadi pertemuan pertama kedua-dua pasukan di kejohanan akhir yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Pertemuan kedua-dua pasukan ini juga lebih menarik apabila kedua-dua pasukan adalah jiran di utara tanah air di mana pertemuan ini bukan sahaja menentukan siapa yang bakal membawa pulang Piala FA, tetapi ianya juga tentang siapa yang bakal menjadi raja bola sepak utara.
Tetapi terdapat lima fakta menarik mengenai pasukan Kedah menjelang perlawanan akhir hari ini :
1. Aidil Sharin Sahak
Jurulatih pasukan Kedah yang berusia 42 tahun ini merupakan jurulatih kedua dari Singapura yang berjaya mara ke pentas akhir Piala FA setelah berjaya menewaskan Felda United di separuh akhir.
Sebelum ini, Fandi Ahmad yang juga bekas pengurus Johor Darul Ta’zim telah berjaya membawa Lions XII mara ke pentas akhir Piala FA pada tahun 2015
2. Victor Andrag
Bekas pertahanan tengah Lang Merah yang telah mewakili Kedah dari 2002 sehingga 2010 pernah membawa pasukan Kedah ke pentas akhir 2007 dan 2008. Bertambah manis lagi Kedah berjaya memenangi kedua-dua aksi akhir tersebut.
3. Baddrol Bakhtiar
Lagenda Kedah ini bakal membuat penampilan kelima pada pentas akhir Piala FA bersama-sama dengan Abdul Hadi Hamid dan Khairul Helmi Johari. Mereka berjaya memenangi tiga dan tewas satu kali sepanjang melangkah ke final.
4. Azammuddin Akil
Jika diturunkan, pemain kelahiran Pahang ini bakal menjadi pemain pertama bermain di pentas akhir Piala FA dengan empat pasukan berbeza. Sebelum ini beliau mewakili Pahang(2014), Johor Darul Ta’zim (2016) dan Selangor pada 2018 serta berjaya memenangi piala ini bersama Pahang dan JDT.
5. Asri Mardzuki
Tujuh daripada 18 pemain Kedah adalah para pemain yang bermain di pentas akhir 2017. Ifwat Akmal Chek Kassim, Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali, Syawal Nordin, Asri Mardzuki dan Syazwan Tajudin.
Manakala, Asri adalah satu-satunya pemain yang tidak membuat penampilan pada aksi final 2017.