Luar Negara Berita

Malaysia vs Timor Leste : Tsukitate harapkan keajaiban, Cheng Hoe harapkan kemenangan

Cabaran besar buat pasukan pengendali Timor Leste, Norio Tsukitate apabila perlu mendaki gunung yang tinggi bersama-sama dengan skuad mudanya apabila tewas dengan jaringan yang besar pada perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jumaat lalu.

Tetapi beliau tetap optimis dengan pemainnya dan percaya mereka akan menunjukkan prestasi yang lebih baik ketika hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bagi menentang Malaysia pada perlawanan kedua.

Malaysia sebelum ini berjaya menjaringkan tujuh gol pada perlawanan pertama dengan Timor Leste berjaya membolosi gawang gol Harimau Malaya dengan hanya satu gol.

Justeru bagi Tsukitate, beliau akui pemainnya tidak beraksi dengan baik akibat beberapa faktor dan percaya pemainnya mampu mengatasi tekanan tersebut menjelang perlawanan kedua.

“Di liga domestik, mereka bermain lebih baik – tahap lebih tinggi, lebih banyak tekanan dan pas yang lebih baik. Tetapi terhadap Malaysia, mereka tidak boleh bermain seperti itu. Saya harap mereka telah mempelajari sesuatu dalam perlawanan dan akan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam perlawanan kedua,” kata Tsukitate.

Bagi skuad kendalian Tan Cheng Hoe, mereka dilihat sudah berada di kedudukan yang selesa apabila membawa pulang jaringan yang besar pada perlawanan pertama.

Tetapi beliau menyatakan bahawa pemain tidak harus berasa terlalu selesa kerana keajaiban boleh berlaku di dalam bola sepak.

“Kami masih mempunyai 90 minit untuk bermain dan saya menjangkakan pemain akan melakukan dengan permainan yang sama,” katanya.

Info perlawanan

Timor Leste v Malaysia

Tempat: Stadium Nasional, Bukit Jalil

Sepak mula : 8.45 Malam