Luar Negara Berita

Malaysia vs Timor Leste : Safawi tak mahu ambil mudah

Kemenangan besar Malaysia ke atas Timor Leste pada perlawanan pertama Jumaat lalu tidak seharusnya menjadi tiket buat para pemain untuk merasa selesa menjelang perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini, kata Safawi.

Bintang muda negara ini telah menjaringkan dua gol dan terlepas melengkapkan hatrik apabila gagal menjaringkan penalti pada Jumaat lalu.

Justeru bagi beliau, biarpun Malaysia dilihat sudah mara ke saingan sebenar kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Safawi tetap menyeru kepada rakan sepasukan agar menggandakan usaha mereka bagi melengkapkan kemenangan.

Tambah beliau lagi, saingan masih berbaki 90 minit menjelang perlawanan malam ini dan keajaiban boleh berlaku di dalam bola sepak.

“Saya gembira dapat memberi sumbangan positif buat rakan-rakan sepasukan pada aksi pertama tetapi secara peribadi, saya rasa masih banyak ruang boleh diperbaiki memandangkan saya gagal menyempurnakan sepakan penalti.

“Namun, saya mahu jadikan kesilapan-kesilapan tersebut sebagai satu pe­ngajaran dan apa yang pen­ting ialah bekerja lebih keras pada sesi latihan kerana saya percaya boleh beraksi lebih baik.

“Apa yang pasti, saingan masih berbaki 90 minit dan kami tidak boleh mengambil mudah kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Cuma, jika kami dapat mengekalkan intensiti sama, saya percaya satu lagi kemenangan positif dapat dilakarkan,” katanya Kosmo Online.